Adab berpuasa agar ibadah sempurna

Adab berpuasa agar ibadah sempurna

MESKIPUN sudah menghampiri pertengahan Ramadan, masih belum terlambat lagi untuk kita memperbaiki puasa masing-masing yang mungkin ada cacat celanya.

Biarlah segala amalan puasa dilakukan itu tidak sekadar mendapat lapar dan dahaga sahaja, tetapi cukup sifatnya dan diterima oleh ALLAH SWT.

Menerusi teks khutbah Jumaat Pejabat Majlis Islam Sarawak, umat Islam diingatkan agar menjaga adab ketika berpuasa demi memperoleh ibadah puasa yang sempurna.

Menurut khatib, Imam Al-Ghazali menggariskan enam adab berpuasa yang perlu dititikberatkan.

Salah satunya adalah menjaga penglihatan daripada memandang sesuatu yang boleh memesongkan hati daripada mengingati ALLAH SWT.

SEWAKTU berbuka, jagalah perut daripada menerima makanan berlebihan apalagi hidangan yang meragukan dan haram. -Foto: CANVA

SEWAKTU berbuka, jagalah perut daripada menerima makanan berlebihan apalagi hidangan yang meragukan dan haram. -Foto: CANVA

“Lebih-lebih lagi sesuatu yang haram seperti memandang perempuan bukan mahram dengan penuh memberahikan.

“Kedua, jagalah lidah kita daripada bercakap perkara tidak berfaedah, berdusta, bercakap kasar, mengumpat, bertengkar dan seumpamanya.

“Lebih baik berdiam diri dan bercakap hanya yang perlu serta menggunakan waktu sedia ada untuk berzikir kepada ALLAH SWT dan membaca al-Quran. Inilah puasa lisan,” katanya dipetik menerusi teks khutbah bertajuk ‘Ibadah puasa yang sempurna’ yang disiarkan di laman web pejabat itu Jumaat lalu.

Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Puasa itu adalah perisai. Oleh itu, orang yang berpuasa janganlah melakukan perkara keji dan melakukan perbuatan orang yang jahil. Jika seseorang mengajaknya bergaduh atau memakinya, maka hendaklah ia berkata ‘Sesungguhnya aku berpuasa’ sebanyak dua kali.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Pelihara anggota tubuh

Di samping itu, Pejabat Majlis Islam Sarawak turut mengingatkan agar kita memelihara pendengaran daripada mendengar perkara yang dilarang dan dibenci oleh ALLAH SWT.

PELIHARALAH mulut dan lidah kita daripada bercakap perkara tidak berfaedah, berdusta, bercakap kasar, mengumpat, bertengkar serta seumpamanya. -Foto: CANVA

PELIHARALAH mulut dan lidah kita daripada bercakap perkara tidak berfaedah, berdusta, bercakap kasar, mengumpat, bertengkar serta seumpamanya. -Foto: CANVA

Ini kerana setiap perkara yang haram diucapkan, ia juga haram didengari.

“Selain itu, jagalah segala anggota badan lain seperti tangan daripada memegang sesuatu yang haram dan lain-lain,” katanya.

Sewaktu berbuka pula, khatib mengingatkan agar kita menjaga perut daripada menerima makanan berlebihan apalagi hidangan yang meragukan dan haram.

“Orang yang berpuasa kemudian berbuka dengan makanan daripada sumber harta haram, perbuatan itu seumpama seseorang yang berubat, tetapi mencampurkannya dengan racun berbisa.

“Ubat itu baik untuk penyakitnya, tetapi racun tetap memudaratkannya,” katanya.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga, boleh jadi orang yang beribadah berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Menghuraikan hadis itu, jelas khatib, terdapat ulama berpandangan, ia merujuk kepada individu yang berbuka puasa dengan makanan haram, mengumpat atau melakukan dosa dengan anggota tubuh badannya.

Elak makan terlalu kenyang

Dek kerana lapar, ada yang makan dan minum terlalu banyak hingga menyukarkannya untuk melakukan ibadah serta perkara lain.

ELAKKAN makan dan minum terlalu banyak hingga menyukarkan kita untuk melakukan ibadah dan menjejaskan rutin yang lain.

ELAKKAN makan dan minum terlalu banyak hingga menyukarkan kita untuk melakukan ibadah dan menjejaskan rutin yang lain.

Kepada kelompok itu, segera buang jauh-jauh perilaku sedemikian kerana bercanggah dengan tujuan utama puasa.

“Ingatlah, antara tujuan puasa itu adalah menahan selera dan menundukkan nafsu syahwat untuk mengukuhkan ketakwaan jiwa.

“Jika perkara itu dilakukan, matlamat tersebut tidak akan tercapai kecuali makan dan minum kita dapat dikurangkan.

“Bayangkan jika kita berpuasa sekadar menahan lapar pada siang hari hingga masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak kemahuannya kepada makanan dan dilayan pula dengan pelbagai aneka juadah sedap hingga perut kekenyangan, tentulah nafsu syahwat tidak akan terdidik,” tegur khatib.

Seperkara lagi, khatib mengingatkan agar kita menanam perasaan takut atau bimbang dan berharap dalam hati.

“Ini kerana kita tidak tahu apakah amalan puasa masing-masing diterima atau tidak.

“Jika puasanya tertolak, maka seseorang itu akan tergolong dalam kalangan orang yang dimurkai. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada semua Muslim setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadah kepada ALLAH SWT,” katanya.

Dalam khutbah itu, khatib mengingatkan bahawa orang yang berpuasa terbahagi kepada tiga kategori sebagaimana disebutkan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin iaitu:

ANTARA tujuan puasa adalah menahan selera dan menundukkan nafsu syahwat untuk mengukuhkan ketakwaan jiwa. -Foto: CANVA

ANTARA tujuan puasa adalah menahan selera dan menundukkan nafsu syahwat untuk mengukuhkan ketakwaan jiwa. -Foto: CANVA

1. Puasa kategori awam – Puasa menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

2. Puasa kategori khusus – Selain menahan diri daripada makan dan minum, ia juga menjaga anggota tubuh daripada dosa. Ia adalah puasa orang soleh.

3. Puasa kategori paling khusus – Puasa hati daripada urusan yang remeh dan duniawi dan hanya fokus kepada ALLAH SWT. Itulah tingkatan puasa para nabi, siddiqin (orang yang amat benar imannya) dan muqarrabin (orang yang hampir dengan ALLAH SWT).

Justeru, khatib mengingatkan agar kita berusaha mencapai tingkatan puasa khusus dengan menjaga anggota zahir dan hati.

“Pada masa sama, hendaklah hati kita sentiasa berada antara takut dan berharap agar amalan yang dilakukan diterima oleh ALLAH SWT,” titip khatib.

Scroll to Top