Penyanyi dan usahawan, Noraniza Idris mengaku pernah terlewat membayar gaji pekerjanya disebabkan masalah kewangan yang dihadapi sebelum ini melibatkan sebuah akademi latihan keusahawanan.
Katanya, penangguhan bayaran gaji pekerja berlaku disebabkan beberapa faktor termasuklah kos yang dihabiskan terhadap akademi berkenaan.
Bagaimanapun, Noraniza atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani bersyukur kerana para pekerjanya memahami situasi yang berlaku.
“Kos kita banyak dihabiskan dengan akademi ini dan apabila berlaku begini maka berlaku masalah kewangan sebab kita tak buat sebarang pinjaman.
“Memang ada lewat bayar gaji pekerja, tetapi mereka memahami pendapatan kita tidak tinggi. Gaji pekerja cecah sehingga RM30,000 ke RM40,000, itu belum lagi perbelanjaan bulanan. Banyak kerugian yang kami tanggung.,” katanya.
Bertanggung jawab dengan isu yang berlaku, pelantun lagu Awallah Dondang ini sanggup menggunakan duit simpanannya dan anak-anak untuk membayar gaji pekerja yang tertunggak.
“Kumpul duit sendiri dan anak-anak untuk bayar. Kami pernah terlewat sebulan untuk buat pembayaran gaji.
“Tapi Alhamdulillah, pembayaran pun sudah beransur selesai dibayar sejak November lalu.
“Menggunakan wang peribadi adalah perkara biasa, bahkan wang persembahan saya juga digunakan, asalkan kebajikan staf terjaga dan kilang tidak tergadai,” jelasnya.
Noraniza diminta mengulas mengenai perkara iu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa StarVendors di Ruang Rama Event Space, Petaling Jaya pada Rabu.
Enggan memanjangkan isu tersebut, Noraniza juga berharap agar pihak terlibat memberikan kerjasama yang baik dalam masalah ini.
“Saya selalu bersangka baik, ketika menandatangani kontrak semuanya betul tetapi mengapa dia melanggar.
“Saya masih beri peluang untuk kita berbincang menyelesaikan masalah yang terhenti semenjak Mei tahun lepas.
“Nak pulangkan barang semuanya sudah habis, saya cuma mahu dia pulangkan bayaran yang telah dijanjikan.
“Kalau ikut saya, saya tak mahu panjangkan hingga ke mahkamah, biarlah dia selesaikan dan beri kerjasama sekiranya dipanggil oleh pihak polis. Saya pun bersedia untuk berdepan dengan dia,” jelasnya.
Terdahulu, Noraniza membuat laporan polis dan mengatakan bahawa dia telah dianaiya oleh sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000 pada awal tahun ini.
Difahamkan, akademi terbabit menawarkan peluang untuk penjualan produk makanan iaitu muruku yang diusahakan olehnya.