Bekas pemimpin politik dipenjara 6 tahun, bersalah memperdagangkan manusia:

Bekas pemimpin politik dipenjara 6 tahun, bersalah memperdagangkan manusia:

GEORGE TOWN : Bekas Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Ooi Khar Giap dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja membabitkan seorang mangsa warga tempatan pada 2022.

Khar Giap, 57, yang juga pengarah sebuah syarikat sebelum ini berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hakim Mazdi Abdul Hamid ketika menjatuhkan hukuman tersebut iaitu bagi setiap kesalahan berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan beliau agar hukuman penjara dijalankan serentak mulai hari ini terhadap tertuduh

Dalam penghakimannya, Mazdi berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa kes itu melampaui keraguan yang munasabah dan tertuduh juga didapati bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama, Khar Giap didakwa telah memperdagangkan Law Yih Yng, 36, seorang warga tempatan yang bukan kanak-kanak dengan cara penyalahgunaan kuasa bagi tujuan eksploitasi buruh paksa antara bulan Jun hingga 3 Julai 2022 di Happy Food Court, No. 12A, 16, 18, Jalan Star Avenue, Pusat Perniagaan Star Avenue, Simpang Ampat.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memperdagangkan individu yang sama di alamat bernombor 60, 62, 64, 66, 68 serta 68A, Jalan Kedah di Daerah Timur Laut antara 7 Julai 2022 hingga 29 Oktober 2022.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Eng Yuh Pei dan Tan Jia Jing.

Yuh Pei dalam mitigasi rayuannya berkata, tiada unsur kekerasan atau kecederaan berlaku kepada mangsa, malah, pegawai penyiasat mengesahkan mangsa selamat sepanjang berada di bawah jagaan tertuduh dan memohon penangguhan hukuman.

Mazdi kemudian membenarkan hukuman penjara ditangguhkan dengan beberapa syarat termasuk mahu notis rayuan itu difailkan hari ini selain membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 bagi setiap kes dengan dua penjamin. Beliau juga mengarahkan tertuduh untuk melapor diri setiap awal bulan di balai polis serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Untuk rekod, tertuduh juga mempunyai 30 kes berkaitan pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja yang kini sedang dalam proses bicara di mahkamah.

Scroll to Top