Polis tahan lelaki ugut juruteknik dengan parang

Polis tahan lelaki ugut juruteknik dengan parang

Georgetown: Lelaki ditahan selepas disyaki mengugut juruteknik sebuah syarikat penyedia kelengkapan rumah dengan parang dalam kejadian di Solok Sungai Ara 2, Bayan Lepas, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas laporan polis diterima daripada mangsa berusia 21 tahun.

“Semasa kejadian, juruteknik tersebut baru sahaja selesai menjalankan servis mesin air di rumah suspek dan tiba-tiba mangsa didatangi suspek yang mengacukan parang serta mengeluarkan ugutan serius.

“Bimbang keselamatannya, mangsa segera meninggalkan lokasi sebelum tampil membuat laporan polis. Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada salah faham dalam komunikasi antara suspek dan isterinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, isteri lelaki itu tidak memaklumkan kepada suaminya mengenai kehadiran juruteknik terbabit untuk melakukan servis menyebabkan suspek bertindak agresif apabila melihat individu tidak dikenali berada di dalam rumahnya.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, katanya, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes curi motosikal.

“Hasil soal siasat, lelaki itu membawa pihak polis ke sebuah rumah di Halaman Mayang 3, Bukit Gedung dan kami menemui enjin motosikal serta komponen lain sebelum ke lokasi kedua dan menemui motosikal dalam keadaan tidak sempurna di Halaman Mayang 4,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas topi keledar, sebuah enjin, ekzos, coverset dan sebuah motosikal daripada lelaki itu.

Katanya, suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top