rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan belum menerima kata putus daripada Kerajaan Mesir berhubung penghantaran pulang 127 rakyatnya termasuk 41 individu cedera yang sebelum ini dibawa ke Malaysia untuk menerima rawatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kesemua rakyat Palestin itu ketika ini berada di bawah penjagaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
“Kita (kementerian Pertahanan) masih menunggu penyelarasan dengan pihak Mesir untuk memastikan kita boleh menghantar pulang warga Palestin ke Gaza.
“Buat masa ini kita masih berkomunikasi dengan pihak Mesir dan kita harap ia dapat dimuktamadkan secepat mungkin kerana kita tahu apabila mahu mengambil rakyat Palestin diplomasinya adalah dengan pihak Mesir, jadi apabila mahu menghantar pulang juga perlu dimuktamadkan mereka.
“Kita sudah ada beberapa siri perbincangan, cuma tunggu masa yang sesuai untuk hantar mereka pulang ke Palestin,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Affin Digital Space di Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Musa Abdul Malek; Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Brigedier Jeneral Hamdan Ahmad dan Guru Besar SK Kementah, Mohd Rizan Baba.
Mengenai penjagaan warga Palestin, Adly berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jakim bagi memastikan kebajikan warga Palestin terus terjaga walaupun tidak lagi tinggal di Wisma Transit Kuala Lumpur.
“Memang hasrat mereka dan menjadi hasrat kita juga untuk pastikan dengan gencatan senjata ini mereka dapat kembali ke tanah air.
“Bagi melaksanakan penghantaran perlu memastikan beberapa aspek keselamatan diselaraskan baru boleh buat penghantaran. Kita akan cuba muktamadkan dan berharap mereka dapat pulang ke negara mereka,” katanya.
Pada 16 Ogos tahun lalu, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza untuk menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, manakala saudara-mara mereka yang lain ditempatkan di Wisma Transit Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd