KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang merangka Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) bagi melahirkan Insan Sejahtera dengan lima ciri utama, termasuk keseimbangan hidup, pembelajaran sepanjang hayat dan perpaduan nasional.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kurikulum baharu ini dirancang dengan mengambil kira keperluan masa depan dan memastikan pelajar berdaya saing di peringkat global.
“KPM telah mengadakan sesi libat urus sejak 2022 melibatkan pelbagai pihak, termasuk guru, pentadbir sekolah, pakar kurikulum, pihak industri dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kurikulum yang dibangunkan relevan dengan keperluan semasa,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan yang meminta penjelasan mengenai perkembangan garis masa pelaksanaan KP2027.
Menurutnya, bagi memperkukuh rangka pembangunan KP2027, KPM telah menganjurkan Persidangan Kurikulum Kebangsaan dan Konvensyen Kurikulum Persekolahan 2027 bagi mendapatkan input yang lebih komprehensif.
“Jerayawara Kurikulum Persekolahan 2027 turut diadakan pada tahun 2024 bagi memberi pendedahan kepada masyarakat serta mendapatkan maklum balas berkaitan elemen baharu dalam kurikulum ini,” katanya.
Katanya, KP2027 sedang melalui beberapa fasa utama termasuk penggubalan, kawalan kualiti, uji rintis, pelaporan hasil, pemantapan dan penyerahan dokumen sebelum penataran kepada semua pihak berkaitan.
“Kurikulum ini melibatkan semua peringkat persekolahan dari prasekolah, sekolah rendah hingga sekolah menengah dan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi,” katanya.
Menurut Kah Woh, KPM turut menerapkan konsep Generasi Madani dalam sistem pendidikan bagi membentuk pelajar yang progresif, berdaya saing serta berpaksikan nilai-nilai Malaysia Madani.
“Konsep ini akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2025/2026 dan merangkumi murid prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah serta program pendidikan khas,” katanya.-UTUSAN