KUALA LUMPUR: Kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan kerajaan menunjukkan pencapaian positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatat pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024 berbanding 3.6 peratus pada 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, nilai pelaburan diluluskan turut meningkat 14.9 peratus kepada RM378.5 bilion manakala jumlah dagangan bertambah 9.2 peratus kepada RM2.88 trilion, sementara aliran masuk pelaburan langsung asing bersih (FDI) berjumlah RM47.4 bilion.
“Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia serta kejayaan pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih mampan,” katanya di Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai kesinambungan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam pentadbiran kerajaan Madani.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Ekonomi Madani yang diperkenalkan pada 27 Julai 2023 memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, peningkatan taraf hidup rakyat serta penambahbaikan tadbir urus kerajaan.
Katanya, kerajaan telah menubuhkan Unit Pantau Madani bagi memantau dan melaksanakan intervensi ke atas inisiatif utama bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar itu.
“Unit ini juga menjadi sekretariat kepada Pemukiman Jemaah Menteri bagi memastikan hala tuju kementerian selari dengan agenda pembangunan negara,” katanya.
Katanya, kerajaan komited membantu rakyat antaranya dengan meningkatkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada maksimum RM2,500 pada 2022 kepada RM4,600 pada 2025.
“Bantuan SARA juga dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM200 mulai April ini,” katanya.-UTUSAN