hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Putrajaya: Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pada 9.46 pagi, hari ini.
Kehadiran Ismail Sabri itu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Ismail Sabri menaiki kenderaan berwarna hitam, tiba dengan polis pengiring.
Ahli Parlimen Bera itu kelihatan tenang dan sempat melambai kepada media.
Seawal 8 pagi, lebih 20 pengamal media sudah berada di perkarangan ibu pejabat SPRM bagi membuat liputan kes yang membabitkan Ismail Sabri.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri.
Menurut sumber, 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini sudah dirakam percakapan.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Terdahulu, SPRM dilaporkan menyita wang kira-kira RM170 juta membabitkan mata wang seperti Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd