mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Cubaan dua lelaki menyeludup 900 kilogram (kg) minyak sawit mentah tanpa dokumen sah menggunakan lori gagal selepas mereka ditahan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, semalam.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, bertindak atas maklumat awam, pasukan membuat pemantauan di lebuh raya terbabit apabila melihat sebuah lori tiga tan dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan, pada 1.30 tengah hari.
Menurutnya, pasukan tangkapan menghampiri suspek dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sambil menunjukkan kad kuasa polis.
“Pemeriksaan lanjut terhadap lori itu menemukan empat tong Intermediate Bulk Container (IBS) dan dapati satu tong IBC berisi anggaran 900 kg minyak sawit mentah tanpa dokumen yang sah disyaki diseludup keluar tanpa kebenaran sah.
“Polis kemudian merampas lori terbabit dan menahan dua lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata, 13 saman turut dikeluarkan atas kesalahan trafik dalam operasi itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd