Tindakan tegas menanti pihak cuba semarakkan suhu perkauman – PM

Tindakan tegas menanti pihak cuba semarakkan suhu perkauman – PM

fahmy.azril@bh.com.my

Cyberjaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi ketegasannya dengan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba untuk menyemarakkan suhu perkauman di negara ini, tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.

Beliau menegaskan tindakan tidak lain selaras dengan keputusan Jemaah Menteri diumumkan.

“Terutama sekarang Malaysia ini, kita mesti tumpu dalam soal ini dan jangan izinkan negara ini dicemari oleh pelampau perkauman dan agama seperti yang kita dengar.

“Dan keputusan Jemaah Menteri seperti yang diumumkan, siapa saja mulai sekarang yang cuba menghangatkan suhu perkauman dan kebencian kepada kaum dan agama, kaum majoriti atau kaum minoriti, kaum kaya atau kaum miskin, menghina dari sudut kaum dan agama.

“Percaya lah kita (kerajaan) akan ambil tindakan sekeras mungkin untuk menghentikan gejala yang mungkin membawa malapetaka dan kecelakaan kepada negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis berbuka puasa bersama syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Terdahulu, Perdana Menteri mahu semua kaum di negara ini bersama menoktahkan isu perkauman sekali gus bergerak ke hadapan dalam memastikan negara terus stabil.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, tindakan itu dapat menjamin supaya perpaduan antara kaum di negara ini kekal mekar dan harmoni.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top