am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Kerajaan Negeri Kelantan menasihatkan rakyat untuk tidak berkunjung ke selatan Thailand dalam masa terdekat sehingga situasi benar-benar selamat susulan insiden tembakan dan letupan bom di Sungai Golok, pada malam Sabtu lalu.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata langkah itu perlu diambil melainkan bagi mereka yang mempunyai perkara penting yang tidak dapat dielakkan.
Katanya, masyarakat Islam kini sedang menyambut bulan Ramadan yang mulia selain bakal merayakan Hari Raya Aidilfitri tidak lagi, justeru tidak mahu berlaku sebarang insiden luar jangka terutama membabitkan rakyat Malaysia.
“Sebaiknya rakyat mematuhi nasihat pihak berkuasa sebagai mana disampaikan Ketua Polis Kelantan tempoh hari, iaitu rakyat yang tidak mempunyai urusan penting mengelakkan diri daripada berkunjung ke selatan Thailand buat sementara waktu.
“Kita difahamkan ramai antara pengunjung ke pekan Sungai Golok untuk tujuan membeli juadah di bazar dan berbuka puasa. Namun begitu, di negeri kita juga terdapat banyak pilihan lokasi bazar Ramadan selain diyakini selamat.
“Di negeri ini juga banyak terjual kuih-muih serta makanan dan masakan Thailand, jadi adalah lebih baik membeli di sini sahaja kerana aspek keselamatan adalah lebih penting,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ihya’ Ramadan & Penyerahan Dana Zakat Wakalah di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (A) Tarbiah Diniah Meranti, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, syarikat EDOTCO Malaysia menyampaikan sumbangan komputer riba serta menaja projek baik pulih makmal komputer SMU (A) Tarbiah Diniah Meranti, di sini, dengan kos keseluruhan bernilai RM70,000 selain menyampaikan sumbangan kepada 50 asnaf pada majlis terbabit.
Mohd Nassuruddin turut menasihatkan rakyat di sempadan Sungai Golok untuk lebih peka dan sentiasa berhati-hati, namun dalam masa sama beliau yakin akan kawalan ketat yang dijalankan pihak berkuasa dalam menjaga keamanan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd