am@hmetro.com.my
Shah Alam: Remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Seksyen 20 dekat sini, Ahad lalu ditemui selamat di Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, keluarga remaja berusia 16 tahun itu sudah ke Kuala Terengganu untuk membawanya pulang, hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian pada Ahad lalu, mangsa keluar dari rumah sekitar jam 8 pagi dengan memberitahu keluarganya, dia mahu ke rumah kawan.
Katanya, mangsa kemudian mematikan telefon dan menaiki bas di Seksyen 20 Shah Alam ke stesen bas Bukit Jalil.
“Mangsa yang tiada hala tuju menumpang tidur di Surau Darul Bukit Jalil selama dua malam sebelum membuat keputusan ke rumah kawan lelaki di Kuala Terengganu dengan menaiki bas.
“Selepas mangsa sampai di Terengganu, lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook itu terus menghubungi keluarga mangsa kerana kehilangan mangsa sudah dimaklumkan kepadanya oleh keluarga remaja terbabit.
“Keluarga lelaki berkenaan terus membawa mangsa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keluarga mangsa kemudian ke Kuala Terengganu untuk mengambilnya pulang ke Shah Alam dalam keadaan selamat.
Semalam media melaporkan, bapa mangsa yang berusia 46 tahun melaporkan kehilangan anak perempuannya pada jam 9.27 pagi, kelmarin.
Mangsa dipercayai keluar daripada rumah selepas ditegur bapanya kerana terlalu leka bermain telefon, selain disekat akses internet.
© New Straits Times Press (M) Bhd