
Gol tunggal Suphanat ranapkan impian JDT ke suku akhir ACLE. FOTO : FB Buriram United.
PENGENDALI Buriram United, Osmar Loss Vieira berpuas hati dengan prestasi The Thunder Castle selepas mengesahkan kemaraan ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Selasa.
Di sebalik pencapaian membanggakan itu, Osmar mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki gergasi Thailand berkenaan bagi menghadapi cabaran peringkat lapan terbaik.
Menurutnya, pasukan telah merancang taktikal permainan dengan baik namun perlawanan sebenar tidak selalu berjalan seperti yang dirancang.
“Kami menyusun strategi sebelum perlawanan, namun apabila permainan bermula kami perlu segera menyesuaikan diri.
“Pemain berjaya membaca permainan dengan baik dan menyesuaikan corak permainan mengikut situasi di atas padang,” katanya selepas perlawanan timbal balik kedua Pusingan 16 ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Buriram sebelum itu mengesahkan kemaraan suku akhir selepas menyingkirkan cabaran JDT bimbingan Hector Bidoglio, 1-0 secara agregat hasil sentuhan Suphanat Mueant minit ke-58 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Chang Arena pada 4 Mac lalu.
Pada masa sama, pengendali berusia 49 tahun tersebut mengakui Buriram masih mempunyai beberapa kelemahan terutamanya dalam aspek pertahanan namun optimis pasukannya berada di landasan yang betul.
“Kami pernah mengalami kekalahan besar sebelum ini seperti 0-5 kepada Yokohama dan 0-3 kepada Frontale, tetapi kami belajar daripada kesilapan dan berusaha memperbaiki kelemahan tersebut.
“Minggu ini, kami memberi fokus kepada ruang serangan yang diberikan oleh pihak lawan dan pemain berjaya menggunakannya dengan baik,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai perancangan aksi berdepan pemenang antara Vissel Kobe (Jepun) dan Gwangju FC (Korea Selatan), pengendali kelahiran Brazil itu menegaskan bahawa pasukannya tidak hanya bermain untuk keputusan, tetapi juga untuk maruah dan kebanggaan.
“Kami tidak bermain sekadar untuk menang atau kalah, tetapi untuk kehormatan kelab, negeri dan diri sendiri. Saya bangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemain,” katanya.