am@hmetro.com.my
Muar: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 24 dan sembilan tahun terhadap dua sahabat selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal dan merogol dua remaja bawah umur di sebuah hotel, tiga tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu terhadap tertuduh Muhamed Shahidan Esa, 26, dan Muhammad Haziq Mohamad Ngarip, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah ke atas kes mereka.
Dalam penghakiman itu, Abu Bakar berkata, perbuatan dilakukan oleh kedua-dua tertuduh tidak boleh diterima dan wajar diberi hukuman setimpal kerana ia membabitkan mangsa bawah umur.
“Salah tetap salah. Mahkamah harap kamu berdua belajar daripada kesilapan sepanjang menjalani hukuman dan kembali menjadi orang baik,” hujahnya.
Muhamed Shahidan yang juga penghantar barang berhadapan empat pertuduhan dengan dua daripadanya mengikut Seksyen Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan manakala dua lagi, Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Dia dijatuhi hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan pertama dan ketiga manakala pertuduhan kedua dan keempat, masing-masing lapan tahun serta enam sebatan.
Muhammad Haziq pula berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017.
Dia kemudian dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama dan enam tahun, dua sebatan untuk pertuduhan kedua.
Mahkamah juga memutuskan kesemua hukuman penjara dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh serta pengawasan polis setahun sebaik selesai tahanan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhamed Shahidan yang juga didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 14 tahun (ketika itu) di sebuah hotel, di sini, pada 11 malam, 4 Julai 2022.
Manakala pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi mangsa yang juga berusia 14 tahun, pada 11.30 malam di lokasi dan tarikh sama.
Muhammad Haziq pula didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 14 tahun dengan semua kejadian, tarikh dan masa berlaku di tempat sama.
Pada 11 Jun tahun lalu, mahkamah sama memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Iqhmar Syafiq Azmi, Syed Amirul Syed Idrus dan Ahmad Nadzli Rizal.
© New Straits Times Press (M) Bhd