Bekas penuntut IPTA lepas, bebas tuduhan edar kanabis

Bekas penuntut IPTA lepas, bebas tuduhan edar kanabis

MELAKA: Seorang bekas pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada kesalahan mengedar dadah jenis kanabis seberat hampir satu kilogram, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat meneruskan kes tersebut terhadap tertuduh, K. Satish, 28, walaupun kes berkenaan telah memasuki peringkat perbicaraan.

Keputusan itu dibuat selepas seorang lagi tertuduh P. Hamalan, 26, yang juga rakan Satish mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan pendakwaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, kedua tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 912 gram di sebuah rumah bernombor di Taman Merlimau Permai, Merlimau dalam daerah Jasin kira-kira pukul 2 pagi pada 28 Februari 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau satu tempoh tidak kurang dari lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh diihukum 39A(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Peguam A. Mathan yang mewakili Satish berkata, anak guamnya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan.

ā€œKedua-dua tertuduh ditawarkan pertuduhan pilihan tetapi Satish memilih untuk tidak mengaku bersalah. Disebabkan itu pendakwaan berpendapat kes terhadap Satish tidak perlu diteruskan kerana rakannya telah mengaku pertuduhan pilihan.

ā€œMahkamah membatalkan pertuduhan dibawah Seksyen 39B(1)(a) dan mengarahkan Satish dilepas serta dibebaskan. Hamalan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam bulan serta 10 sebatan bermula dari tarikh ditangkap pada 28 Februari 2020,ā€ ujarnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Saleh manakala Hamalan diwakili peguam Baljit Singh.

Sebelum ini, dua rakan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 912 gram pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Kedua tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan. ā€“ UTUSAN

Scroll to Top