26 ditahan lombong emas secara haram

26 ditahan lombong emas secara haram

zatuliffah@hmetro.com.my

Marang: Seramai 26 lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti melombong emas dan mineral secara haram dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di daerah ini, semalam.

Serbuan dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu itu turut merampas peralatan melombong emas dan mineral yang dianggarkan bernilai RM2.11 juta.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan dilakukan Batalion 9 PGA dengan kerjasama IPK Terengganu semasa menjalankan Op Bersepadu Khazanah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi pertama di sebuah lombong di kawasan perumahan di sini jam 2.15 petang mendapati kegiatan melombong emas dilakukan 11 lelaki berusia antara 32 hingga 56 tahun.

“Ketika pemeriksaan, mereka gagal menunjukkan lesen pelombongan yang sah sebelum polis menahan serta merampas semua peralatan dan mesin jentera seperti sebuah jengkaut, sebuah mesin pencuci batu dan dua mesin pam air yang digunakan untuk melombong membabitkan rampasan bernilai RM450,000.

“Dalam pemeriksaan kedua kira-kira jam 3 petang di sebuah kawasan lombong di Kampung Rusila pula, kita menahan lapan lelaki berusia antara 17 hingga 46 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan melombong emas secara haram dengan rampasan dianggarkan bernilai RM510,000,” katanya dalam kenyataan di sini.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya menahan tujuh lagi lelaki berusia 28 hingga 61 tahun dalam pemeriksaan ketiga di sebuah kawasan lombong di Kampung Rusila di sini, jam 4 petang kerana melombong mineral secara haram.

Katanya, kesemua mereka gagal menunjukkan lesen pelombongan mineral yang sah sebelum pihaknya merampas semua peralatan dan mesin jentera seperti sebuah lori, tiga jengkaut, sebuah mesin pencuci batu dan dua mesin pam air yang digunakan untuk melombong membabitkan rampasan bernilai RM 1.15 juta.

“Semua kes disiasat di bawah Seksyen 153 Akta Enakmen Mineral (Terengganu 2002) kerana melombong tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.

“Kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pelombongan haram daripada terus berleluasa di dalam negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top