Syafiq, Mimi bahagia melayari bahtera rumah tangga

Syafiq, Mimi bahagia melayari bahtera rumah tangga

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas hampir sebulan melayari bahtera rumah tangga, pelakon, Mimi Lana meluahkan rasa gembira dengan kehidupan yang dinikmati bersama jejaka pilihannya yang juga pelakon popular, Syafiq Kyle.

Walaupun begitu, Mimi berkata, dia dan Syafiq masih belum berpeluang untuk berbulan madu bagi meraikan hari bahagia mereka.

“Alhamdulillah saya gembira dengan perkahwinan ini. Cuma kami belum berkesempatan untuk berbulan madu lagi.

“Kami merancang untuk bercuti selepas Ramadan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mimi mengaku teruja apabila dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai suami isteri buat kali pertama tahun ini.

“Sudah tentu saya seronok, malah sekarang ini pun saya gembira dapat menjalani ibadah puasa bersama. Boleh dikatakan setiap hari saya perlu memasak untuk suami.

“Tapi mujurlah Syafiq suka makan ikan bilis goreng saja. Jadi senanglah saya nak sediakan juadah untuknya. Sebenarnya Syafiq pun rajin memasak di rumah,” katanya.

Sementara itu, Syafiq bersyukur apabila berpeluang menikmati kehidupan suami isteri sepanjang Ramadan ini memandangkan mereka tidak terikat dengan penggambaran.

“Sepanjang Ramadan ini kami tidak terikat dengan sebarang penggambaran. Jadi kami ada banyak masa bersama keluarga dan untuk kami berdua.

“Selain itu, Mimi juga sibuk menguruskan perniagaannya dan saya pun ikut memberi sokongan,” katanya.

Pada 14 Februari lalu Syafiq dan Mimi melangsungkan majlis pernikahan tanpa hebahan media bagi menghormati keputusan keluarga.

Pasangan itu mengadakan majlis akad nikah dan resepsi di Taiping, Perak yang hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Sebelum ini, Mimi dan Syafiq pernah menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun, namun impian menjadi suami isteri tergendala apabila membatalkan majlis pernikahan pada 18 Ogos 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top