Zayn Rayyan tak minat, langsung tak dapat ikut arahan juruterapi – Saksi

Zayn Rayyan tak minat, langsung tak dapat ikut arahan juruterapi – Saksi

surayaroslan@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin didiagnosis sebagai ‘receptive and expressive language delay’ tahap teruk berdasarkan rekod klinikal terapi pertuturan.

Saksi pendakwaan ke-23, Dr Nur Hanisah Abd Nasir, 37, yang bertugas di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) (turut dikenali sebelum ini Jabatan ENT) Hospital Sungai Buloh memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, berdasarkan pemahamannya ketika menyediakan laporan perubatan Zayn Rayyan mendapati kanak-kanak itu tidak berminat dan tidak dapat mengikut arahan diberikan juruterapi pertuturan.

Nur Hanisah yang sudah berkhidmat sembilan tahun di jabatan itu memaklumkan perkara berkenaan ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi pada hari ke-12 prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa arwah Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Nur Sabrina: Bagaimana ujian pendengaran dijalankan?

Nur Hanisah: Pada 29 Oktober 2019, pesakit ini dibawa ke Klinik Otorhinolaryngology untuk ujian pendengaran. Hasil ujian percubaan ujian ‘play audiometry’ dan Visual Reinforcement Audiometry (VRA) tidak lengkap disebabkan pesakit ini tidak berminat dan tidak dapat mengikut arahan, jadi pesakit ini diberikan tarikh temujanji yang baru untuk ulang semula ujian pendengaran namun tiada rekod berikutnya.

Nur Sabrina: Pesakit tidak berminat, boleh jelaskan?

Nur Hanisah: Kerana waktu ujian pendengaran, kita memberi arahan, tetapi pesakit diberi satu patung, jadi kadang kala pesakit tidak berminat bermaksud tidak mengikut arahan dan tidak mahu bermain patung itu, dan arahan seperti kalau dengar bunyi letak mainan, tetapi dia (Zayn Rayyan) tidak mahu main dan tidak minat main.

Nur Sabrina: Macam mana spesifiknya Zayn Rayyan tunjuk tidak minat?

Nur Hanisah: Dia langsung tidak mengikut arahan

Nur Sabrina: Terapi pertuturan ini pesakit didiagnosa sebagai ‘receptive and expressive language delay’, boleh jelaskan kenyataan doktor?

Nur Hanisah: Untuk terapi pertuturan bukan di bawah skop bahagian pegawai perubatan ENT tetapi skop terapi pertuturan, namun pihak terapi pertuturan tidak dibenarkan untuk membuat laporan perubatan, jadi saya sebagai pegawai perubatan ENT menulis rekod untuk terapi pertuturan. Jadi pesakit ini didiagnosa sebagai ‘receptive and expressive language delay’ yang mana severity adalah severe, berdasarkan pemahaman saya kerana keadaan di waktu menunjukkan jelas perbezaan pesakit sepatutnya ada perbezaan hampir dua tahun, contohnya pesakit berusia dua tahun 10 bulan, tetapi tahap bahasa berusia10 bulan, jadi maksudnya ‘severe’ berdasarkan perbezaan hampir dua tahun keadaan sebenar.

Dalam keterangannya juga, Dr Nur Hanisah mengesahkan dia tidak mengendalikan Zayn Rayyan secara langsung tetapi laporan perubatan untuk pesakit itu dibuat berdasarkan rekod perubatan yang ada.

“Pesakit ini di bawa ke klinik ORL pada 23 September 2019 kerana mengalami jangkitan pada telinga sebelah kanan, sedang dirawat dengan antibiotik.

“Selepas diperiksa didapati pesakit juga mengalami keterlambatan bercakap atau ‘speech delay’, yang mendapat rawatan di Seremban dan baru berpindah ke Selangor, dan tidak pasti hasil rawatan dan ujian pendengaran yang dilakukan di Seremban.

“Pesakit diberi temujanji untuk ujian pendengaran dan dinasihatkan untuk melengkapkan penggunaan antibiotik dan pesakit didapati lulus ujian pendengaran bayi baru lahir pada 2017 di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas peguam Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh, Nur Hanisah bersetuju sekiranya wujud elemen pengabaian dan perbuatan penganiayaan terhadap Zayn Rayyan pastinya laporan perubatan akan menyatakan fakta sebenar kejadian.

Haresh: Untuk kes hari ini, sekiranya wujud apa-apa elemen pengabaian dan perbuatan penganiayaan, setuju saya cadangkan sudah tentu nota laporan perubatan akan mencerminkan fakta, betul?

Nur Hanisah: Betul

Haresh: Doktor menyatakan ibu pesakit diberikan bahan terapi di rumah, betul?

Nur Hanisah: Betul

Haresh: Jadi ini bermaksud laporan ini menyatakan apa-apa yang boleh membantu arwah Zayn berkaitan pertuturan, ibu dinasihatkan macam mana melakukannya, betul?

Nur Hanisah: Betul

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan dan Ismanira yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top