1,186 karton bunga api dan mercun untuk stok musim perayaan dirampas

1,186 karton bunga api dan mercun untuk stok musim perayaan dirampas

am@hmetro.com.my

Butterworth: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 1,186 karton bunga api dan mercun bernilai RM225,343.30 selepas melakukan dua serbuan di Seberang Jaya dan Nibong Tebal, dekat sini, pada 24 Januari lalu.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, dalam operasi itu pihaknya menahan seorang wanita dan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an yang juga pemilik premis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, serbuan dijalankan Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang bagi membanteras aktiviti penyeludupan secara berterusan.

“Pemeriksaan di premis pertama berhampiran sebuah kilang di Seberang Jaya menjumpai sejumlah 718 karton mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenama seberat 1,510 kilogram (kg) bernilai RM127,397.26 dan cukai berjumlah RM197,465.77.

“Premis kedua membabitkan sebuah stor di Nibong Tebal pula menemui sejumlah 468 karton mercun dan bunga api seberat 6,308 kg bernilai RM97,946 dan cukai berjumlah RM151,816.30.

“Rampasan dibuat susulan kesemua mercun dan bunga api itu tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan ditetapkan dalam permit import (AP) yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM di Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai untuk dijual sempena musim perayaan.

“Diingatkan bahawa mercun dan bunga api adalah barang larangan yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 46, Bahagian 1, Jadual Ketiga Perintah Larangan (Larangan Mengenai Import 2023.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top