4 beradik yatim piatu tumpang kasih Mak Ngah

4 beradik yatim piatu tumpang kasih Mak Ngah

am@hmetro.com.my

Alor Setar: “Saya dah anggap empat anak saudara yatim piatu ini seperti anak sendiri, malah yang kembar sudah panggil saya mak,” kata Zuraina Abu, 53.

Zuraina adalah adik ipar kepada Noriza Saad, 34, yang maut dalam kemalangan dengan suaminya, Marzlan Abu Hassan, 52, pada 26 Disember tahun lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, suami isteri terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Tanjung Musang, Langgar dengan menaiki motosikal sebelum terbabit dalam kemalangan dengan motosikal lain dan sebuah kereta di Jalan Alor Pudak, Titi Haji Idris, Pendang.

Kejadian menyebabkan Noriza dan suaminya serta remaja berusia 14 tahun, Muhammad Aidil Awang Saidin yang menunggang sebuah motosikal lain maut di tempat kejadian.

Zuraina berkata, dia kini mengambil tugas sepenuhnya menjaga empat anak mereka iaitu Muhammad Azrul Hafizi, 15, Aina Damia, 14, dan pasangan kembar, Nur Qaseh Melissa serta Nur Chinta Melissa, 2, selepas mereka hilang tempat bergantung.

Katanya, dia yang memiliki lapan anak yang sudah dewasa turut bersyukur kerana masih mampu menjaga anak kecil dan dapat mencurah kasih buat mereka.

“Saya teringat kata-kata arwah Noriza sebelum ini apabila dia bergurau dengan dua anaknya. Kalau ibu mati, hampa nak duduk dengan sapa nanti?

“Azrul dan Aina beritahu depa nak tinggal dengan Mak Ngah…. Saya tak sangka gurauan itu menjadi kenyataan apabila mereka memang tinggal dengan saya selepas ibu bapa mereka meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Teluk Jamat, Tanjung Musang, di sini hari ini.

Zuraina berkata, Noriza dan keluarganya memang sukakan nasi tomato dan bihun sup dimasak terutama ketika Ramadan.

“Dah banyak kali saya masak nasi tomato sepanjang Ramadan ini dan anak-anak arwah suka malah mereka memuji masakan saya seperti ibu masak.

“Si kembar, Chinta dan Qaseh pula tidak banyak meragam kerana mereka belum tahu apa-apa dan kakak serta abang merekalah yang banyak menjaga selepas pulang dari sekolah,” katanya.

Zuraina berkata, suaminya, Kasuadinata Saad, 45, akan membawa Muhammad Azrul menziarahi pusara ibu bapanya setiap kali lepas solat Jumaat.

“Kehilangan adik ipar dan suaminya amat dirasai sampai sekarang,” katanya.

Sementara itu, Aina Damia berkata, dia akan menatap gambar serta membaca surah Al-fatihah setiap kali merindui ibu bapanya.

Katanya, biasanya setiap pagi raya, arwah ibunya akan memasak rendang ayam tetapi tahun ini dia tidak lagi dapat merasai rendang ayam ibunya.

“Saya dan abang akan jaga adik-adik sehingga mereka besar,” katanya.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Pengurus Sumber Manusia Environment Idaman (EISB) Sdn Bhd, Mohd Shamsul Zulkifli sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top