Dua pemain senior perkuatkan skuad Malaysian Tigress

Dua pemain senior perkuatkan skuad Malaysian Tigress

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua tonggak senior dipanggil bagi melengkapkan senarai 26 pemain bagi menggalas tanggungjawab bagi mengharungi kejohanan antarabangsa selain berperanan membantu mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Bangkok hujung tahun ini.

Pemain terbabit adalah Noor Hasliza Md Ali dan Fatin Shafika Mahd Sukri yang berjaya memikat Ketua Jurulatih Pasukan Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim selepas mempamerkan prestasi cemerlang ketika membantu Blue Warriors meraih gelaran treble buat kali pertama pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Datuk Najmi Razak barisan pemain yang dipanggil ini diharap mampu mempamerkan semangat juang tinggi dalam usaha meraih kejayaan positif pada penyertaan di kejohanan akan datang.

Katanya, skuad Malaysian Tigress perlu menumpukan kejohanan terdekat terlebih dahulu sebelum memikirkan misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea 2025 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Disember.

“Tahniah kepada pemain yang terpilih dan apa yang penting sekarang adalah mereka perlu terus memperbaiki prestasi serta kekuatan mental untuk lebih berjaya di peringkat antarabangsa.

“Pasukan Wanita Kebangsaan diingatkan untuk berikan tumpuan kepada satu demi satu Kejohanan dahulu sebelum fokus untuk mengekalkan pingat Emas Sukan Sea 2025. Kejohanan yang terdekat adalah Kejohanan Piala Negara-Negara 2 (Wanita) di Walc, Poland pada pertengahan bulan Jun tahun ini.

“Saya juga percaya keharmonian dalam pasukan adalah antara aset penting yang akan membawa kejayaan.

Barisan Kejurulatihan pasukan hoki wanita kebangsaan perlu lebih banyak meluangkan masa untuk membangunkan pasukan ini dan saya percaya bahawa usaha mereka akan mendatangkan hasil positif,” katanya.

Mengikut rekod, tahun ini menyaksikan skuad hoki wanita kebangsaan bakal mengharungi beberapa kejohanan penting iaitu Piala Dunia Remaja Wanita, Piala Negara-Negara, Piala Asia Wanita dan Sukan Sea 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top