Tak munasabah! SPRM profesional, jawab dakwaan letak RM170 juta dalam ‘safe house’

Tak munasabah! SPRM profesional, jawab dakwaan letak RM170 juta dalam ‘safe house’

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jawab dakwaan letak RM170 juta seperti mana didakwa di media sosial baru-baru ini.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pihaknya menjalankan siasatan secara profesional serta berlandaskan undang-undang.

Tegasnya, semua siasatan, termasuk kes berprofil tinggi, dijalankan secara adil tanpa sebarang unsur pilih kasih.

“Semalam saya ada baca dalam satu berita di media sosial mengatakan SPRM meletakkan wang RM170 juta tersebut, jadi saya fikir di mana saya boleh dapatkan semua wang ini.
“Jadi dalam hal ini, maksudnya tidak ada penyiasatan selektif. Kita menjalankan siasatan secara profesional, jadi perkara remeh-temeh begini, terpulanglah kepada anda semua menilainya,” katanya.

Artikel lain: Siasatan terhadap Ismail Sabri, SPRM sita 13 akaun dengan simpanan berjumlah RM9.33 juta

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini pada Selasa.

SPRM jawab dakwaan letak RM170 juta

Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mempunyai motif serangan politik.

Dalam menjelaskan sama ada prinsip tersebut turut terpakai dalam siasatan melibatkan ahli politik di Sabah, Azam menegaskan bahawa SPRM menjalankan semua siasatan secara adil dan tanpa sebarang berat sebelah.

“Semua kes, bukan sahaja di Sabah, sebelum ini kita mempunyai banyak kes berprofil tinggi yang kita tidak memihak kepada sesiapa.
“Jadi dalam hal ini, kita menjalankan tugas secara profesional,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut diminta mengulas mengenai siasatan terhadap Ahli Parlimen Bera serta status cuti sakitnya yang dijangka tamat pada hari Selasa.

“Beliau perlu datang ke pejabat (SPRM). Jika tidak, kita perlu mengetahui alasan yang diberikan kerana tidak hadir.
“Pada minggu lepas, oleh kerana beliau masih dalam cuti sakit, kita tidak mahu mengganggu kerana seseorang yang telah disahkan oleh doktor mempunyai masalah kesihatan.
“Sehingga sekarang, saya tiada maklumat daripada pegawai penyiasat atau doktornya bahawa beliau tidak sihat. Maka, saya beranggapan keesokan harinya (Khamis), beliau harus datang ke pejabat untuk dirakam percakapan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Azam turut memaklumkan bahawa seramai 23 saksi tambahan akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

“Saya tak pasti sama ada mereka sudah dipanggil atau belum, tetapi usaha sedang dijalankan untuk memanggil kesemua 23 saksi itu secepat mungkin.
“Kita juga, seperti mana kehendak semua pihak termasuk orang awam, mahu menyegerakan siasatan berprofil tinggi ini,” katanya.

Setakat ini, SPRM telah merekodkan keterangan daripada 36 saksi dan mengenal pasti 23 saksi baharu yang dijangka dipanggil dalam masa terdekat.

Untuk rekod, Ismail Sabri sebelum ini pernah dikejarkan ke pusat perubatan swasta selepas rebah di rumahnya pada 21 Februari lalu. Kini, selepas tempoh rehatnya tamat, siasatan terhadapnya diteruskan.

Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)

Scroll to Top