syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Tum Tum Raya, Shiha dan Ieda Zikir menerima baik segala kritikan mengenai konsep video muzik (MV) lagu itu yang baru-baru ini dikritik sebagai kurang nilai sopan santun.
Shiha, ketika ditemui di sidang media pelancaran lagu itu berkata, dia menerima setiap kritikan dan menjelaskan bahawa konsep itu disesuaikan dengan elemen komedi yang ingin ditonjolkan dalam lagu Aidilfitri mereka tahun ini.
“Komen positif saya ambil sebagai dorongan, manakala komen negatif pun saya terima untuk memperbaiki dan menambah baik pada masa akan datang.
“Lagu-lagu Aidilfitri saya sebelum ini lebih bersifat biasa dan mengikut kebiasaan. Namun, tahun ini saya ingin menyelitkan elemen komedi,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Shiha, tarian dan gerakan yang dilakukan di dalam video muzik lagu ciptaannya bersama Ajay Amai dan Napie Hassan tidaklah keterlaluan.
“Pada saya, ia tidak berlebihan sehingga menjatuhkan apa-apa, cuma tarian kali ini lebih aktif.
“Jika dilihat dari segi tenaga dan gaya persembahan, memang ada perbezaan antara saya dan kakak. Namun, tiada niat lain selain menghiburkan.
“Bagi yang mengenali saya, mereka tahu memang beginilah saya. Mungkin yang tidak mengenali saya akan tertanya-tanya.
“Saya tidak memandang negatif terhadap komen dan kritikan, malah menerimanya dengan hati terbuka. Insya-Allah, saya akan terus menambah baik.
“Saya juga ingin memohon maaf jika ada yang kurang selesa. Niat saya hanyalah untuk menghiburkan dengan cara saya sendiri,” katanya.
Bagi Ieda yang juga kakak kandung Shiha, dia meyakinkan Shiha bahawa konsep yang mereka gunakan dalam video muzik itu tidaklah melampaui batas.
“Mengenai pergerakan tarian, Shiha ada bertanya kepada saya sama ada ia keterlaluan atau tidak kerana dia juga risau.
“Sebagai kakaknya, saya meyakinkan bahawa tidak mengapa kerana tiada apa-apa yang melampaui batas sehingga mencalarkan budaya.
“Apa yang kami inginkan hanyalah menyebarkan kegembiraan,” katanya.
Video muzik Tum Tum Raya mengetengahkan konsep tarian Melayu yang digabungkan dengan tarian moden, menggunakan suntingan ‘fast cut’.
© New Straits Times Press (M) Bhd