Henti jadi badut, pemimpin politik bertindak sebagai jambatan perpaduan bukan cetus api – Sultan Pahang

Henti jadi badut, pemimpin politik bertindak sebagai jambatan perpaduan bukan cetus api – Sultan Pahang

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah mengingatkan pemimpin politik untuk bertindak sebagai jambatan perpaduan dan bukannya pencetus api keharmonian yang telah lama terbina dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Pemimpin politik bertindak sebagai jambatan perpaduan

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda amat berdukacita mutakhir ini masih ada suara-suara sumbang yang meremehkan kesucian agama, mencabar kemuliaan Islam, seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.

“Berhentilah daripada menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.
“Biarkanlah ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa ‘drama’ yang menyakitkan. Berdialoglah guna akal dan hati, bukannya bermonolog guna nista dan benci.”tittah Baginda di majlis memasyhurkan nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf, di Kampung Durian Hijau, Jerantut.

Artikel lain: Sultan Pahang sanggup henti kenderaan, bantu mangsa kemalangan

Umat Islam jangan diam

Baginda juga mengingatkan umat Islam di negeri ini agar bangkit bersama-sama mempertahankan dan melindungi kesucian agama Islam agar tidak sewenang-wenangnya diperlekehkan.

Menurut baginda, umat Islam jangan sesekali berdiam diri apabila agama dihina walaupun sebagai seorang Muslim diajar mengikut resmi padi semakin berisi semakin menunduk.

“Jangan hanya kerana kelembutan dan kesopanan itu ada pihak yang berani memperlekehkan agama kita sesuka hati.
“Islam tidak pernah mengajar kita tunduk kepada penghinaan dan penindasan. Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini saya menyeru agar setiap muslim memainkan peranan, mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan,” tegas baginda.

Baginda turut menegaskan,  sebagai seorang yang beragama Islam seharusnya bersama-sama bertanggungjawab mempertahankan agama suci ini.

“Dalam kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan, agama-agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai. Selagi mana ia tidak menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negeri, selagi itulah hak setiap penganut terpelihara.
“Ini bukan sekadar lafaz dalam dokumen perundangan. Islam bukan sekadar agama tetapi suatu amanah yang mesti kita junjung, suatu warisan suci yang mesti kita pertahankan. Tidak kira siapa kita, apa warna kulit kita, dari manq asal usul kita, apa pun pangkat dan kedudukan kita.
“Selagi mana kita bernama muslim kita bertangungjawab mempertahankan agama suci ini,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan dalam sebuah negeri yang berbilang bangsa dan agama, tiada yang lebih utama selain nilai hormat-menghormati serta kesedaran untuk menjaga sensitiviti agama masing-masing.

Sumber: FB Kesultanan Pahang 

Scroll to Top