Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi tegaskan mesej Islam akan tetap sampai dalam sebuah drama berunsurkan Islamik meskipun tanpa elemen kelucahan yang ditonjolkan.
Beliau tampil memberi komen berhubung kenyataan penulis drama kontroversi berjudul Bidaah, Erma Fatima yang menjadi bualan ramai mengenai adegan lakonan Vanida Imran mengusap janggut Faizal Hussein menggunakan kaki.
“Dalam membawa mesej Islam, unsur kelucahan sama sekali tidak diperlukan, malah ia bercanggah dengan prinsip Islam itu sendiri.
“Mesej Islam akan tetap sampai tanpa elemen kelucahan. Begitu juga matlamat baik tidak menghalalkan cara,”katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Artikel lain: Babak usap janggut guna kaki, Erma Fatima cuma mahu sampaikan mesej mencari agama
Dr Ahmad Sanusi tegaskan matlamat tak halalkan cara
Tambah beliau, babak berkenaan berkemungkinan mahu menarik perhatian penonton dan strategi pemasaran, namun ia tetap salah.
“Andai plot ini merupakan instrumen pemasarannya, maka ia lebih teruk di sisi Islam. Rasulullah mengecam pengusaha sebegini yang menggunakan elemen kejelekan dalam produksi mereka.
“Sabda Rasulullah: نَّ التُجَّارَ يُبعَثُونَ يَومَ القِيَامَةِ فُجَّارًا ، إِلَّا مَن اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ
“Sesungguhnya para pengusaha (peniaga) akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan “fujjar” (pelaku dosa) melainkan mereka yang bertakwa, melakukan kebaikan dan bersikap benar.” (HR al-Tirmizi)
Tegasnya lagi, Rasulullah turut mengecam pengusaha yang menggunakan elemen melalaikan dalam produk mereka, apatah lagi mengaplikasikan unsur-unsur kelucahan yang menjengkelkan.
Sebelum ini, Erma atau nama sebenar Fatimah Rahmad menyatakan tujuannya (drama Bidaah) bukan untuk mencemarkan imej Islam, tetapi ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam mendalami ilmu agama.
Ujarnya, kisah yang dipaparkan dalam drama itu adalah refleksi realiti yang berlaku dalam masyarakat, walaupun ada pihak yang sukar menerimanya.
Malah, Bidaah bukanlah adaptasi daripada mana-mana kisah ajaran sesat, sebaliknya diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya sendiri.
Sumber: FB Dr Sanusi Ahmad