SPRM ambil keterangan Ismail Sabri Khamis ini – Azam Baki

SPRM ambil keterangan Ismail Sabri Khamis ini – Azam Baki

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dijadualkan keIbu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, Khamis ini untuk memberi keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perdana menteri ke-9 itu dijangka memberi keterangan jam 10 pagi.

Beliau berkata, ia berikutan pihaknya akan merekodkan keterangan 23 lagi saksi baharu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri.

“Beliau (Ismail Sabri) dijangka hadir pada 13 Mac, mungkin dalam jam 10 pagi untuk dirakam percakapannya berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan.

“Saksi tambahan seramai 23 orang juga akan dipanggil dalam tempoh terdekat secara beransur-ansur untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dengan SPRM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Ditanya sama ada status kesihatan Ismail Sabri adalah kritikal sehingga jadual hari asal untuk diambil keterangannya ditangguhkan.

“Saya tidak tahu (maklumat terperinci status kesihatan Ismail Sabri), saya bukan doktor di sini.

“Tetapi yang saya tahu cuti sakit (MC) beliau akan berakhir 13 Mac ini. Dia (Ismail Sabri) perlu datang ke pejabat (untuk diambil keterangan).

“Sekiranya dia tidak datang ke pejabat (untuk dirakam keterangan), kita perlu mengetahui apa lagi alasan yang perlu diberikan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, pegawai penyiasat tidak mendapat sebarang maklumat daripada doktor bahawa Ismail Sabri masih tidak sihat.

“Saya beranggapan beliau harus datang ke pejabat untuk dirakam percakapannya. Sejauh yang saya tahu, ia (status kesihatan Ismail) tidak begitu serius,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top