Selepas kontroversi yang melibatkan tiga penyampai radio Era FM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan nasihat dan sokongan kepada mereka.
Dalam satu pertemuan di Majlis Berbuka Perdana Menteri bersama Media di Kuala Lumpur, PMX mengingatkan mereka tentang pentingnya memainkan peranan dalam menyebarkan mesej perpaduan kepada rakyat.
Penyampai radio ERA FM ucap terima kasih kepada PM…

Menurut Nabil Ahmad yang mewakili Radin dan Pak Azad, mereka bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu dan berbincang secara terus dengan PMX.
Tambahnya, mereka juga tidak menyangka Perdana Menteri sudi menjemput mereka serta majikan mereka, Priya Dharshini Prabakaran, untuk bersama-sama berbuka puasa.
Kami ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Perdana Menteri kerana menjemput kami bertiga dan bos kami untuk bersama-sama berbuka puasa.- Kata Nabil.
Dalam pertemuan tersebut, PMX turut menegaskan kepentingan menyebarkan mesej harmoni, terutama dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.

Beliau minta kami sampaikan mesej perpaduan kerana kita hidup dalam negara yang harmoni, pelbagai kaum dan majmuk.
Jadi, setiap percakapan dan perbuatan perlu memperbanyakkan mesej ini.- Jelas Nabil.
Ketiga-tiga penyampai radio itu turut berjanji akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan mereka selepas ini dan berusaha menjadi penyampai yang menyatupadukan rakyat, seperti yang diharapkan oleh Perdana Menteri.
Majlis berbuka puasa itu berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 500 pengamal media dari pelbagai agensi dalam dan luar negara.
#ApaKataOhmedia
Kesilapan boleh berlaku, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita belajar daripadanya. Dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia, kepekaan terhadap sensitiviti masyarakat sangat penting.
Sebagai individu yang mempunyai pengaruh, tanggungjawab untuk menyebarkan mesej perpaduan dan keharmonian harus diutamakan.
