Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata berharap akan menukar warna pingat kepada emas pada temasya Sukan Sea 2025 di Thailand, dari 9 hingga 20 Disember depan.
Atlet berusia 24 tahun kelahiran Kuantan, Pahang itu sekadar memenangi pingat gangsa pada penampilan sulung di Kemboja dua tahun lalu.
“Sasaran saya pada tahun ini adalah untuk mengenggam emas,” katanya dalam satu video dikongsikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini
Berbaki sembilan bulan lagi, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dilihat berada di landasan tepat dalam merealisasikan sasaran berkenaan selepas muncul pemegang rekod kebangsaan acara ini dengan lontaran sejauh 15.70 meter (m), yang dilakukannya pada Kejohanan Grand Final Varsity Track & Field tahun lalu.
Dia memperbaharui rekod peribadi iaitu 15.39m sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sama seperti kebanyakan atlet lain, jadual latihannya diatur semula bagi menyesuaikan diri dengan waktu sahur serta berbuka sepanjang bulan Ramadan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd