Kementerian Agama Siasat Kumpulan Buat Haji Atas Gunung

Kementerian Agama Siasat Kumpulan Buat Haji Atas Gunung

Bayangkan kalau tiba-tiba ada pihak mendakwa rukun Islam bukan lima, tapi 11! Lagi mengejutkan, mereka juga percaya bahawa haji tak perlu ke Mekah, cukup sekadar mendaki Gunung Bawakaraeng. Apa kejadah semua ni woi?!

Dengar macam kisah dongeng tapi tak ada yang mustahil kalau negara jiran. Itulah yang berlaku di Desa Bontosomba, Sulawesi Selatan, Indonesia selepas ajaran Tarekat Ana’ Loloa mula tersebar di kawasan mereka.

Ajaran ini diketuai seorang wanita dikenali sebagai Petta Bau, 56 tahun dan kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Pihak Kementerian Agama Indonesia mula bertindak…

Pengarah Urusan Agama Islam dan Bina Syariah Kementerian Agama, Arsad Hidayat, memaklumkan bahawa satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menangani penyebaran ajaran ini.

Kami telah menggerakkan pasukan di peringkat kecamatan untuk menyiasat dan menangani ajaran ini.- Katanya.

Pihak berkuasa juga bekerjasama dengan polis, Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan pihak berkuasa tempatan untuk membendung pengaruh ajaran ini.

Ajaran sesat mula dikesan sejak tahun 2024…

Menurut Ketua Pejabat Urusan Agama (KUA) Tompobulu, Danial, ajaran ini mula dikesan pada Oktober 2024 selepas menerima laporan daripada penduduk.

Kami menerima laporan penduduk dan mendapati ajaran ini tidak mempunyai asas Islam yang kukuh.- Katanya.

Pada 5 Mac 2025, pasukan khas cuba menjejaki Petta Bau, tetapi beliau tidak berada di rumah kerana dikatakan sedang berniaga.

Orang ramai diminta berwaspada…

Dengan ajaran yang jelas menyimpang ini, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah terpengaruh dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan akidah dalam masyarakat.

#ApaKataOhmedia

Ajaran sesat bukan perkara baru, tetapi setiap kali ia muncul, pasti ada yang terpengaruh. Umat Islam perlu lebih berhati-hati dan berpegang teguh kepada ajaran yang benar supaya tidak terjerumus dalam kesesatan. Semoga pihak berkuasa dapat menangani isu ini dengan tegas!


Scroll to Top