am@hmetro.com.my
Kuantan: Pesara wanita kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan wakil mahkamah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan semalam, mangsa yang berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada suspek pada 5 Mac lalu.
Katanya, suspek mendakwa bahawa mangsa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram sebelum mengarahkan dia mengisytiharkan wang simpanannya dengan cara memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan.
“Akibat terpedaya dengan helah itu, mangsa melakukan empat transaksi pemindahan wang yang berjumlah RM100,000 kepada dua akaun yang berbeza antara 7 sehingga 9 Mac lalu.
“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila suspek meminta penambahan wang. Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada simpanan mangsa.
“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan atas talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih terutama dengan perkembangan teknologi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd