Makan sahur jam 12 tengah malam, dapat pahala atau tidak?

Makan sahur jam 12 tengah malam, dapat pahala atau tidak?

SETIAP kali bulan Ramadan, persoalan mengenai waktu sahur sering menjadi perbincangan memandangkan setiap orang mempunyai rutin kerja yang berbeza.

Disebabkan itu ada yang memilih untuk makan sahur lebih awal iaitu sekitar jam 12 tengah malam berbanding satu pertiga malam terakhir.

Malah, ada yang beralasan malas untuk bangun tidur pada waktu itu dan merasakan lebih mudah jika terus bersahur pada waktu tengah malam.

Namun begitu, adakah makan pada waktu itu benar-benar dikira sebagai sahur yang mendapat fadilat dan keberkatan sepertimana yang dianjurkan dalam sunnah?

Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar, waktu sahur sebenarnya bermula selepas separuh malam mengikut pandangan para ulama.

USTAZ WADI ANNUAR

USTAZ WADI ANNUAR

“Jadi di Malaysia, (waktu) sahur lebih kurang jam 1 pagi ke atas,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Justeru, mereka yang bersahur sebelum jam 1 pagi, khususnya sekitar jam 12 tengah malam, ujar penceramah itu, ia tidak dikira sebagai sahur yang sebenar menurut pandangan para ulama.

“Malah, mereka juga tidak memperoleh fadilat dan keberkatan sahur seperti yang disebut dalam sunnah,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, sebahagian ulama berpandangan bahawa individu yang makan ‘sahur’ sebelum separuh malam perlu mengulang semula makan selepas pada waktu sahur sebenar.

Tujuannya adalah bagi memastikan ia dikira sebagai sahur yang menepati sunnah.

SEKURANG-KURANGNYA minum seteguk air pada waktu sahur sudah dikira bersahur. -Foto: CANVA

SEKURANG-KURANGNYA minum seteguk air pada waktu sahur sudah dikira bersahur. -Foto: CANVA

“Jika di Malaysia, lebih kurang jam 1 pagi ke atas sampai sebelum masuk waktu Subuh itu (kita bersahur), insya-ALLAH akan dapat keberkatan baik dari segi masa mahupun makanan yang dijamah, di samping pahala mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW,” ungkapnya.

Sekalipun tidak menjamah hidangan berat dan hanya minum seteguk air atau sebijik kurma dalam waktu sahur, ia tetap dianggap bersahur dan tidak terlepas keistimewaan dijanjikan.

Apatah lagi, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik (makanan) sahur bagi seorang Mukmin ialah kurma.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

KURMA merupakan makanan terbaik ketika bersahur. -Foto: CANVA

KURMA merupakan makanan terbaik ketika bersahur. -Foto: CANVA

Dalam satu riwayat lain, sabda Baginda SAW: “Bersahur itu makanannya ada keberkatan, maka janganlah seseorang kamu meninggalkannya walaupun dengan seteguk air. Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-NYA berselawat (mendoakan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Scroll to Top