am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang penuntut sebuah universiti swasta di Pasir Gudang maut, selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan ketika memotong sebuah lori, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian 3.25 petang di Kilometer 9, Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling itu, mangsa maut di lokasi kejadian.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa, lelaki 23 tahun dalam perjalanan dari universiti itu ke Iskandar Puteri.
“Sewaktu kejadian cuaca hujan dan permukaan jalan basah.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa memotong di sebelah kanan sebuah lori yang dipandu lelaki warga tempatan berumur 36 tahun.
“Ketika memotong, motosikal itu dipercayai hilang kawalan dan terjatuh di bawah lori yang sedang bergerak di lorong kiri, menyebabkan bahagian kepala mangsa digilis tayar sebelah kanan belakang lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Raub, akibat kejadian itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd