Tolong pasang lampu LED biru: Perhilitan

Tolong pasang lampu LED biru: Perhilitan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pelbagai usaha yang dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk memastikan tiada gangguan gajah liar kepada penduduk kampung.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya akan menangkap gajah yang berkeliaran di kawasan kampung sehingga menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk.

Katanya, gajah yang ditangkap akan dipindahkan dan pelepasan ke habitat yang lebih sesuai serta selamat.

“Pemindahan dan pelepasan dijalankan dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

“Operasi pemindahan itu turut membabitkan kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan ancaman binatang liar seperti gajah dan harimau di beberapa kampung Gua Musang, dekat Gua Musang, bukan sahaja mengancam nyawa penduduk, malah merugikan mereka.

Ancaman itu berlaku sejak beberapa tahun lalu berikutan kawasan hutan yang menjadi lokasi perlindungan haiwan liar terbabit diganggu.

Antara haiwan liar yang mengancam penduduk kampung termasuk gajah, harimau dan beruang.

Mohamad Hafid berkata, pihaknya turut memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun supaya mengambil langkah mitigasi bagi mengurangkan konflik yang berlaku di kawasan ancaman.

Katanya, penduduk dinasihatkan memasang lampu LED biru di laluan yang dikenal pasti sebagai jalan masuk gajah ke kebun.

“Sentiasa membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak-samun dan membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun.

“Jabatan ingin memaklumkan tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang.

“Justeru, pekebun dinasihatkan mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan parit gajah atau SPEG bagi mengurangkan gangguan konflik yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri.

Katanya, sebarang aduan boleh disalurkan kepada pihak Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800- 88-5151.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top