SSI gelanggang maut buat Buriram United

SSI gelanggang maut buat Buriram United

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Awas Buriram United, anda bertandang ke kubu antara yang terkuat di Asia!

Perebutan slot ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) terus membara memandangkan peluang masih terbuka antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United selepas terikat tanpa jaringan pada aksi pertama pusingan 16 di Chang Arena, minggu lalu.

Dua wakil Asean itu berentap sekali lagi malam esok, namun Buriram United akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang pasti menghadirkan igauan ngeri kepada wakil Liga Thailand itu.

Ini kali kedua mereka beraksi di SSI dalam saingan ACLE musim ini selepas pertemuan di peringkat kumpulan sebelum ini di mana kedua-dua pasukan terikat 0-0 yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan pada pertembungan itu.

Menuju ke aksi kedua pusingan 16 malam esok, JDT tampak memiliki kelebihan daripada segi moral menerusi rekod cemerlang di laman sendiri selain dibantu kehadiran penyokong setia ‘Harimau Selatan’ yang berjaya membuatkan tiket perlawanan habis dijual.

Dalam saingan ACLE musim ini, skuad bimbingan Hector Bidoglio belum tewas dalam empat aksi di laman sendiri dengan mereka menang tiga daripadanya dan seri satu perlawanan – keputusan seri itu ketika menentang Buriram United.

Dalam tiga kemenangan itu, mereka merakam kemenangan besar iaitu 3-0 ke atas Shanghai Shenhua dan Ulsan HD sebelum menutup kempen peringkat kumpulan menerusi kemenangan 5-2 ke atas Pohang Steelers.

Jumlah jaringan itu menjadi bukti betapa JDT mampu ‘mengamuk’ di laman sendiri dan ia sepatutnya menjadi amaran yang cukup buat Buriram United.

Rekod ‘menggerunkan’ itu sudah pasti sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Buriram United selepas mereka gagal membawa bekalan selesa daripada aksi pertama sebelum ini.

JDT pasti mengharapkan ‘aura domestik’ dapat membakar semangat mereka apatah lagi kali terakhir mereka tumbang di SSI dalam saingan tempatan adalah pada 24 April 2021 yang mana secara tidak langsung menggambarkan reputasi mereka apabila beraksi di ‘kandang’ sendiri’.

Justeru, kini hanya tinggal selangkah untuk JDT mencipta sejarah baharu bola sepak negara dan keputusannya akan diketahui selepas wisel penamat di SSI, malam esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top