JISA penting bagi kurangkan risiko kemalangan kenderaan perdagangan

JISA penting bagi kurangkan risiko kemalangan kenderaan perdagangan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat kenderaan perdagangan yang terbabit kemalangan jalan raya dalam usaha mengurangkan risiko insiden itu.

Menterinya Anthony Loke berkata, mana-mana kenderaan yang terbabit dalam sebarang kemalangan akan diaudit oleh JPJ, seterusnya laporan itu akan diserahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menurutnya, perkara itu juga antara sebahagian prosedur operasi standard (SOP) siasatan ke atas lori yang terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Ini SOP kita sekarang, JPJ akan pergi ke syarikat untuk melakukan audit keselamatan (termasuk) jika ada lori dan tayar koyak kita akan melakukan audit.

“Ia akan membabitkan tujuh atau lapan aspek yang akan diaudit oleh pihak JPJ apabila berlaku kemalangan membabitkan lori dan kemudian laporan itu akan diserahkan APAD,” katanya pada sidang media Operasi Khas dan Berbuka Puasa bersama Penguat Kuasa JPJ di Stesen Penguat Kuasa JPJ Semenyih, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, sekiranya laporan mendapati pihak berkenaan gagal, ia akan diserahkan kepada APAD dan dikenakan tindakan termasuk menggantung operasi dan permit kenderaan.

Katanya, aspek pematuhan peraturan jalan raya bukan sesuatu yang bermusim, sebaliknya perlu diberi keutamaan setiap masa untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Terdahulu media melaporkan, Kementerian Pengangkutan tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk terhadap syarikat besar sekiranya berlaku ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan orang ramai di jalan raya.

Anthony dipetik berkata, ia dibuktikan apabila terdapat sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih 1,000 kenderaan sudah digantung Lesen Pengendali akibat ketidakpatuhan terhadap keselamatan jalan raya.

Beliau dilaporkan berkata, sejumlah 247 Lesen Pengendali sudah digantung pada 2024 berbanding 101 pada 2023 dan 94 (2022) manakala hanya lapan Lesen Pengendali digantung antara 2019 dan 2021, manakala 23 Permit Kenderaan digantung pada 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya.

Selain itu, katanya, APAD juga sudah membatalkan tujuh Lesen Pengendali antara 2022 dan 2024 berbanding tiada pembatalan antara 2019 dan 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top