sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengulas e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB), Siti Nurizati Jefree berharap wujud kerjasama antara industri sukan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kementerian berkaitan bagi menarik minat lebih ramai golongan wanita untuk menceburi bidang itu.
Nurizati yang lebih dikenali dengan Reezpiupiu berkata, untuk merealisasikan perkara itu, sokongan dalam bentuk dana atau geran khas mampu mewujudkan lebih banyak peluang agar orang ramai mempunyai platform untuk mengorak langkah pertama.
Katanya, ketika ini ruang itu masih kecil dan dia hadir menerusi program daripada moonton sehingga dikenali sebagai antara pengulas terbaik dalam sukan berkenaan.
“Program daripada moonton bukan sekadar mengajar asas pengulasan, tetapi cara membentuk gaya tersendiri, membina keyakinan dan memahami keperluan industri.
“Saya percaya jika lebih ramai wanita diberikan peluang dan bimbingan yang betul, kita boleh melahirkan lebih banyak pengulas berkualiti yang mampu bersaing di peringkat profesional.
“Namun, untuk memastikan program ini berkembang lebih jauh dan mencapai lebih ramai peserta, saya percaya sokongan daripada kerajaan dan institusi pendidikan serta agensi berkaitan akan menjadi pemangkin utama.
“Kerjasama itu boleh membuka lebih banyak ruang bagi peserta program untuk mendapatkan latihan lebih formal serta peluang kerjaya dalam industri.
“Dengan adanya jaringan dan platform lebih kukuh, kita bukan sahaja membantu wanita dalam e-sukan, tetapi menyumbang kepada perkembangan industri digital negara secara keseluruhan,” katanya.
Selain itu, Reezpiupiu yang sinonim dengan gelaran ‘Rapper Caster of MPLMY (Liga Profesional Malaysia)’ percaya sekiranya perkara itu mampu dilaksanakan, lebih ramai bakat dapat dicungkil kerana mungkin mereka mempunyai bakat tersembunyi, tetapi kurang akses ke arah itu.
Pengulas berusia 24 tahun itu mula menceburi bidang pengulasan e-sukan pada 2020 dan fasih menguasai tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin serta Inggeris.
Dia meraih beberapa pencapaian seperti Pengulas Mandarin Terbaik MLBB Academy League Malaysia (MAL) 2023 serta diberikan kepercayaan mengulas di Kejohanan Dunia MLBB tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd