Sarah tuntut ganti rugi RM875,000, Aliff Aziz diberi tempoh tujuh hari

Sarah tuntut ganti rugi RM875,000, Aliff Aziz diberi tempoh tujuh hari

Kuala Lumpur: Wanita yang pernah mengaku sebagai kekasih gelap pelakon dan penyanyi kontroversi dari Singapura, Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine, 25, menuntut ganti rugi sebanyak RM875,000 (S$250,000).

Sarah mendakwa ia sebagai pampasan kerana aktor itu dikatakan secara salah memfailkan tuntutan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (POHA) terhadapnya tahun lalu.

Dia menegaskan bahawa tindakan tersebut tidak berasas apatah lagi selepas Aliff sendiri mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan pelakon Ruhainies pada 21 Februari lalu.

Sarah juga berasal dari Singapura memuat naik notis tuntutan (Letter of Demand) terhadap Aliff menerusi perkongsian di Instagram dan menegaskan bahawa pengakuan bersalah Aliff membuktikan segala kenyataan yang pernah dibuatnya sebelum ini adalah benar.

“Saya merujuk kepada pengakuan bersalah anda yang baru-baru ini pada 21 Februari 2025 berkaitan dengan kes khalwat melibatkan seorang pelakon Malaysia, seperti dilaporkan secara meluas di media Singapura dan Malaysia.

“Pengakuan ini mengesahkan bahawa kenyataan saya sebelum ini mengenai hubungan anda dengan pelakon tersebut, yang telah saya kongsikan secara terbuka, adalah benar dan tidak memfitnah.

“Walaupun begitu, anda telah secara salah memulakan tuntutan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (POHA) terhadap saya, yang membawa kepada Perintah Perlindungan Segera (EPO) yang dikeluarkan pada 29 April 2024. Tindakan undang-undang ini adalah remeh dan tidak berasas,” katanya dalam perkongsian itu.

Sarah juga memberi tempoh tujuh hari kepada Aliff untuk melunaskan jumlah yang diminta atau bersedia menghadapi tindakan lanjut.

“Ini hanyalah permulaan, bagi mereka yang telah menganiaya saya dalam tempoh sama, terutamanya mereka yang mereka cipta fitnah tentang saya, sama ada besar atau kecil, ketahuilah bahawa saya akan datang untuk anda juga tahun ini.

“Anda tahu siapa anda. Dah kata, kebenaran, pasti akan menang.

“Saya dah tunggu setahun untuk keputusan ini, saya takkan berdiam diri lagi!” tegas Sarah.

Sarah turut merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu lain yang didakwa sudah memburukkan nama baiknya sebelum ini.

Pada tahun lalu, Sarah mendakwa menerima notis mahkamah di Singapura yang melarangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Aliff. Namun, isu berkenaan dikatakan selesai melalui proses mediasi di mahkamah.

Sarah menjadi ramai selepas apabila dia muncul secara terbuka dan mengaku sebagai kekasih Aliff dengan alasan tidak sanggup melihat aktor itu dikecam teruk selepas ditangkap berkhalwat dengan Ruhainies pada 9 Mac tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top