Johor tanggung kos perubatan dua pelajar kemalangan di Jordan

Johor tanggung kos perubatan dua pelajar kemalangan di Jordan

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Kos perubatan dua pelajar Universiti Mu’tah, Jordan, yang terbabit kemalangan jalan raya di negara Asia Barat itu kelmarin, akan ditanggung kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, dua penuntut Tahun Pertama dalam bidang Fiqh Wa Usul di universiti itu adalah anak jati Johor.

Beliau berkata, penuntut terbabit ialah Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurlkarnian @ Zulkarnian.

“Maklumat yang diperoleh mendapati kedua-dua penuntut ini hanya cedera ringan, namun masih dalam keadaan trauma.

“Kos perubatan mereka sebanyak RM4,424.59 akan ditanggung Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” katanya ketika sidang media selepas Taklimat Penyelarasan Pembasmian Kemiskinan Tegar dan Taklimat Program Dapur Kasih Johor 2025 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Ketika ini, kedua-dua penuntut itu masih di Hospital Al-Karak, Jordan. Muhammad Zaqwan dijangka keluar dari hospital hari ini, manakala Muhammad Ilham masih menggunakan pembalut leher dan masih dalam pemantauan hospital.

Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pejabat Education Malaysia Jordan (EMJ) memantau rapat keadaan empat pelajar Malaysia yang cedera dalam kemalangan jalan raya di negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top