kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Yayasan Pekema memperuntukkan kira-kira RM600,000 bagi membantu anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara membuat persiapan hari raya.
Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, program itu bukan sekadar satu bentuk bantuan material, tetapi juga lambang keprihatinan dan solidariti masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
Katanya, inisiatif tahunan itu menyaksikan lebih 500 penerima menerima baucar membeli-belah dalam satu program khas di Mydin Mall USJ baru-baru ini yang menjadikan lokasi pertama sebelum program diteruskan ke negeri lain di seluruh Malaysia.
“Program ini bukan hanya menyampaikan sumbangan, tetapi juga sebagai tanda kasih dan sokongan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“Program ini diharap dapat membawa kegembiraan dan meringankan beban mereka dalam menyambut Syawal,” katanya dalam kenyataan.
Mohamed berkata, bantuan ini tidak hanya tertumpu di Selangor, malah akan diperluaskan ke beberapa negeri lain termasuk Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi memastikan lebih ramai yang dapat menikmati manfaatnya.
Selain menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang, anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz dari pelbagai institusi, termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Masjid Hidayatul Muttaqin, Madrasah Quran Darussalam (MQDS) dan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, turut disantuni dalam program berkenaan.
“Setiap sen yang disumbangkan dalam program ini adalah hasil keprihatinan mereka yang percaya bahawa kebajikan harus dikongsi bersama dan kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi di masa hadapan,” katanya.
Menjadikan Mydin Mall USJ sebagai lokasi utama sesi membeli-belah raya penerima bantuan, program ini turut mendapat sokongan daripada pihak Mydin sendiri iaitu Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin bagi menyampaikan sumbangan bersama Yayasan Pekema.
© New Straits Times Press (M) Bhd