Bolehkah solat dalam keadaan gelap?

Bolehkah solat dalam keadaan gelap?

SEGELINTIR orang yang menunaikan solat sunat tarawih secara bersendirian di dalam rumah lebih gemar melaksanakannya dalam keadaan gelap.

Tujuannya supaya dapat memfokuskan sepenuhnya kepada ibadah didirikannya memandangkan bilangan rakaatnya yang lebih panjang.

Namun begitu, ada pula yang berpendapat agar tidak bergelap kerana masjid dan surau tidak berbuat demikian. Apakah hukum melakukan solat dalam suasana gelap-gelita?

Menurut pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli, hukum menunaikan solat dalam gelap dengan tujuan untuk menambah khusyuk adalah dibolehkan.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

“Jika solat berjemaah di masjid dan surau, tiada keperluan untuk menutup lampu,” katanya dipetik menerusi hantaran di akaun X miliknya baru-baru ini.

Sebelum ini, menerusi satu hantaran lain, penceramah itu menjelaskan, dari sudut hukum, perbuatan tersebut diharuskan selagi mana kita tahu arah kiblat dan solat menghadap kiblat.

“Bahkan, andai cara itu dapat mencapai khusyuk dalam solat, maka itu lebih utama.

“Cuma perlu pastikan solat dapat dilakukan dengan sempurna,” coretnya.

Bagi menguatkan lagi fakta itu, Sinar Islam Plus merujuk kepada artikel yang pernah disiarkan di laman web Maktabah Albakri.

Jelas Maktabah Albakri, tidak menjadi satu kesalahan bagi seseorang mengerjakan solat dalam keadaaan gelap-gelita selagi mana dirinya mengetahui arah kiblat.

“Malah, solat dikira sah apabila dilaksanakan dengan syarat-syarat, rukun-rukun dan kewajipan-kewajipannya.

CAHAYA bukanlah syarat, rukun atau kewajipan, tetapi jika kegelapan menjadi sumber ketakutan yang mengganggu konsentrasi dan kekhusyukan solat, maka sembahyang dalam keadaan itu adalah makruh. -Foto: CANVA

CAHAYA bukanlah syarat, rukun atau kewajipan, tetapi jika kegelapan menjadi sumber ketakutan yang mengganggu konsentrasi dan kekhusyukan solat, maka sembahyang dalam keadaan itu adalah makruh. -Foto: CANVA

“Cahaya bukanlah syarat, rukun atau kewajipan. Namun begitu, jika kegelapan menjadi sumber ketakutan yang mengganggu konsentrasi dan kekhusyukan solat, maka sembahyang dalam keadaan itu adalah makruh,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk #6886: Solat dalam keadaan gelap gelita.

Maktabah Albakri kemudian memetik pandangan dalam Al-Masalik fi Syarh Muwatta’ Malik yang menyatakan: “Solat dalam kegelapan (malam) adalah suatu yang diperintahkan agar ia menjadi cahaya baginya pada hari kiamat kelak. Ia berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW, ‘Padamkan segala pelita (lampu)’ yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari.”

“Justeru, dibolehkan solat dalam keadaan gelap-gelita sebagaimana syarat yang telah dinyatakan tadi.

“Bahkan menurut sebahagian orang, bergelap ketika solat lebih mendatangkan khusyuk berbanding dengan solat dalam keadaan terang-benderang,” tulisnya.

Scroll to Top