amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melihat rasuah dan penyelewengan dalam kalangan ahli politik serta individu yang rapat dengan mereka sebagai ancaman serius kepada integriti sistem pemerintahan dan kepercayaan rakyat.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, fenomena itu bukan sekadar penyalahgunaan kuasa oleh individu yang memegang jawatan, tetapi juga membabitkan jaringan yang lebih luas, termasuk pembantu, ahli keluarga, dan kenalan rapat yang mempergunakan kedudukan ahli politik itu untuk mengaut keuntungan peribadi.
Beliau menegaskan bahawa penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli politik dan individu rapat mereka bukan sahaja mencemarkan integriti negara, malah turut memusnahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
“Terdapat beberapa aspek utama yang perlu diberi perhatian dalam isu ini, antaranya penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi, eksploitasi oleh pihak ketiga, persepsi negatif rakyat terhadap politik serta langkah penyelesaian yang perlu diambil.
“Ramai ahli politik atau pegawai menggunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan projek, kontrak, atau dana kerajaan bagi kepentingan peribadi atau kroni.
“Malah, ada juga pelantikan individu tidak berkelayakan ke jawatan strategik demi kepentingan politik atau kewangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.
Jais turut mendedahkan wujudnya pembantu atau individu rapat dengan ahli politik yang menyalahgunakan nama pemimpin terbabit untuk mendapatkan projek atau melobi keputusan kerajaan bagi pihak tertentu.
“Kewujudan ‘broker kuasa’ yang menjual pengaruh untuk mendapatkan kontrak kerajaan atau lesen perniagaan turut memburukkan keadaan. Ini memberi gambaran seolah-olah politik dijadikan alat untuk mengaut kekayaan peribadi, bukan lagi sebagai platform khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, apabila lebih banyak kes rasuah dan penyelewengan terbongkar, rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan dan institusi awam, sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, Jais menggariskan beberapa cadangan penyelesaian, antaranya memperketat penguatkuasaan undang-undang dengan memberi lebih kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat dan mendakwa individu terlibat tanpa campur tangan politik. “SPRM perlu bebas menjalankan tugasnya dan hukuman lebih berat perlu dikenakan bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli politik dan pegawai kerajaan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan semua ahli politik dan pembantu mereka mengisytiharkan harta secara berkala dan telus kepada umum, selain memastikan tiada peningkatan kekayaan luar biasa sepanjang tempoh memegang jawatan.
“Pelantikan pegawai atau pembantu politik juga perlu melalui proses saringan ketat bagi mengelakkan individu yang mempunyai konflik kepentingan. Selain itu, setiap projek kerajaan perlu dipantau oleh badan bebas seperti MCW,” katanya.
Jais turut menyarankan agar masyarakat diberikan kesedaran mengenai hak mereka untuk menuntut ketelusan daripada pemimpin, di samping menyediakan platform selamat untuk melaporkan sebarang unsur rasuah.
Beliau menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia bukan sahaja merosakkan asas demokrasi tetapi juga menjejaskan kesejahteraan rakyat.
“Ahli politik perlu kembali kepada tujuan asal mereka iaitu berkhidmat kepada rakyat, bukannya menjadikan jawatan sebagai alat untuk mencari keuntungan peribadi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd