PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menegaskan bahawa penyokong pasukan itu layak mendapat aksi lebih baik daripada pemain selepas seri 1-1 menentang Arsenal di Old Trafford pada tengah malam tadi.
Perlawanan itu berlangsung selepas ribuan penyokong United mengadakan protes besar-besaran di luar stadium, membantah kepimpinan pemilik kelab, keluarga Glazer.
Penyokong yang kebanyakannya berpakaian hitam berarak ke stadium sambil membawa sepanduk, antaranya bertulis ‘Love united, hate Glazers’ sebagai tanda tidak puas hati terhadap pengurusan kelab.
Protes yang dianjurkan oleh kumpulan penyokong The 1958 itu turut memperingati ulang tahun pertama sejak jutawan Britain, Jim Ratcliffe membeli 25 peratus pegangan dalam kelab berkenaan.
Amorim mengakui kagum dengan semangat penyokong setia Red Devils yang tidak pernah jemu memberikan sokongan meskipun pasukan mengalami prestasi tidak menentu.
“Kelab ini tidak akan mati, itu pasti. Anda dapat merasakannya di jalanan. Bola sepak kini adalah perniagaan besar, dan penyokong dalam liga ini mungkin merasakan semakin sukar untuk menyaksikan perlawanan secara langsung akibat harga tiket yang tinggi.
“Kami mahu memberikan mereka usaha yang lebih baik. Di masa hadapan, kami tidak akan bermain seperti ini lagi,” katanya,
Sebelum perlawanan, Amorim berharap pasukannya dapat menggunakan tenaga daripada protes penyokong sebagai motivasi, namun tetap kecewa dengan corak permainan yang dipamerkan terutama pada separuh masa pertama.
“Kami hanya bertahan dalam blok rendah dan memberikan bola kepada pihak lawan. Tetapi semangat pasukan untuk mengikut perancangan dan bekerjasama adalah satu perkara yang positif,” jelasnya.
Ketika ditanya mengapa United sering mempamerkan aksi lebih baik menentang pasukan besar seperti Manchester City dan Liverpool, Amorim mengakui pendekatan taktikal memainkan peranan penting.
“Saya tidak tahu. Mungkin kerana dalam perlawanan sebegini, bermain dalam blok rendah lebih boleh diterima dan itu banyak membantu kami.
“Tetapi apabila menentang pasukan lain, kami perlu lebih agresif dan menyerang ke depan. Itu yang menyukarkan keadaan kerana kadangkala pemain tidak memiliki ciri-ciri yang sesuai untuk melaksanakan taktikal tersebut,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, kapten United, Bruno Fernandes menjaringkan satu-satunya gol pasukan menerusi sepakan percuma cantik sebelum tamat separuh masa pertama.
“Fernandes sentiasa memberikan yang terbaik. Kadang-kadang dia menunjukkan sedikit kekecewaan yang boleh mempengaruhi dirinya, tetapi itu hanya kerana dia mahu menang.
“Dia sentiasa bersedia bermain di pelbagai posisi dan sering menyumbang gol, bantuan jaringan atau sepakan percuma yang berkualiti. Dia adalah contoh yang baik untuk rakan sepasukan,” ujarnya.