amir_hamid@mediaprima.com.my
Rawang: Pengalaman membantu seseorang insan melafazkan syahadah dan memeluk Islam memberikan makna mendalam buat Presiden Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan dan Perubatan Malaysia (MedicAid), Dr Syariz Izry Sehat.
Beliau berkata, pengalaman lebih manis apabila ia berlaku pada bulan Ramadan selepas majlis iftar tajaan MedicAid di Dewan Kampung Orang Asli Kuang, di sini, kelmarin.
“Pengalaman semalam sangat indah. Kita sering melihat pesakit yang dirawat kembali sihat dan gembira, tetapi apabila melihat seseorang kembali kepada fitrah Islam, ia memberikan rasa yang berbeza.
“Bukan mudah untuk diberi peluang membantu seseorang melafazkan syahadah. Alhamdulillah, saya terima dengan hati terbuka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dr Syariz berkata, insan yang memeluk Islam itu dikenali sebagai Don, satu-satunya dalam enam beradiknya yang sudah menerima hidayah.
Beliau berkata, lebih menggembirakan keluarga Don termasuk bapanya turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu.
“Pengalaman semalam (kelmarin) bukanlah kali pertama terbabit dalam membantu seseorang melafazkan syahadah, sebaliknya kali kedua selepas pengalaman serupa di Nabawan, Sabah kira-kira dua tahun lalu.
“Semasa di Nabawan, kami membantu usaha dakwah Ustaz Yasir. Kawasan itu mencatatkan kadar pengislaman yang tinggi tetapi sering menghadapi kekangan dana.
“Melalui MedicAid, kami membantu membina rumah transit atau homestay untuk kegunaan pendakwah yang datang, dengan peruntukan sekitar RM20,000 hingga RM30,000,” katanya.
Dr Syariz berkata, MedicAid turut memperuntukkan RM78,000 sepanjang Ramadan ini untuk pelbagai program kebajikan termasuk majlis iftar di Kampung Orang Asli Kuang dan bantuan zakat bulanan kepada keluarga asnaf di pelbagai lokasi.
“Kami bukanlah pendakwah, tetapi melalui NGO, kami cuba melengkapi perjuangan dakwah dengan menyediakan bantuan yang diperlukan,” katanya.
Menurutnya, MedicAid juga akan menganjurkan program berkhatan untuk penduduk Kampung Orang Asli Kuang pada 1 Jun ini, menjadikan kumpulan itu sebagai yang pertama di Semenanjung menerima manfaat tersebut daripada MedicAid.
“Kami biasanya mengehadkan program berkhatan kepada kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak.
“Namun, melihat kepada keadaan ekonomi dan latar belakang penduduk di sini, kami rasa mereka layak menerima bantuan ini,” katanya.
Dr Syariz menutup temubual dengan menyatakan rasa syukur dan berharap lebih banyak peluang seumpama itu diberikan kepada beliau dan pasukannya dalam menyumbang kepada masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd