KDN cadang jadikan institusi pondok rakan banteras fahaman ekstremisme

KDN cadang jadikan institusi pondok rakan banteras fahaman ekstremisme

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menjadikan institusi pondok sebagai rakan strategik dalam usaha membanteras fahaman ekstremisme.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerjasama itu bertujuan menyemai pemahaman Islam yang lebih inklusif serta menangani cabaran sosial yang semakin kompleks.

“Saya melihat sendiri bagaimana institusi pondok ini bukan sahaja meneruskan tradisi ilmu Islam, tetapi juga berfungsi sebagai benteng akidah umat Islam sejak zaman penjajahan sehingga kini.

“Mereka bergerak tanpa peruntukan tetap kerajaan, hanya bergantung kepada sumbangan zakat dan derma.

“Saya berpendapat institusi pondok ini boleh menjadi rakan strategik kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) , khususnya dalam membendung fahaman ekstremisme, membina kefahaman Islam yang lebih inklusif, dan menangani cabaran sosial yang semakin kompleks,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Masjid Sultan Muzaffar Shah di sini, malam tadi.

Saifuddin berkata, pihaknya juga akan melihat peranan institusi pondok dalam menangani isu 3R (kaum, agama, dan institusi diraja) yang sering dimanipulasi di media sosial sehingga menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kesesakan penjara, beliau berkata perkara itu masih menjadi antara cabaran terbesar bagi diatasi di kementeriannya.

Saifuddin berkata, ketika ini kapasiti penjara adalah seramai 72,000 orang, namun jumlah banduan sudah mencecah hampir 80,000 orang, dengan tambahan 6,000 orang berada dalam komuniti.

Beliau menggesa Jabatan Penjara lebih agresif melaksanakan hukuman alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada pemenjaraan sepenuhnya.

“Antara langkah yang diperkuatkan ialah Perintah Kehadiran Wajib (PKW) yang mana banduan menjalani hukuman di luar penjara dengan syarat tertentu.

“Selain itu, terdapat juga tahanan di rumah yang membolehkan banduan tertentu menjalani baki hukuman di rumah dengan pemantauan ketat, serta pemakaian Peranti Pemantauan Elektronik (EMD).

“Ini membolehkan banduan yang dibebaskan bersyarat di bawah pengawasan dengan gelang penjejak elektronik berkenaan,” katanya.

Saifuddin berkata sekiranya kesesakan penjara tidak ditangani, ia boleh menjejaskan persekitaran dalam penjara, masalah kesihatan, pergaduhan dan tekanan kepada pegawai penjara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top