LIPIS: Pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sementara di lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) melibatkan peruntukan RM2.5 juta dijangka siap seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemudahan itu akan dibina di beberapa lokasi strategik di sepanjang laluan Karak, Bentong hingga Gua Musang, Kelantan yang merangkumi jarak kira-kira 300 kilometer.
“Langkah ini bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya terutama yang melakukan perjalanan jauh semasa musim perayaan.
“Ini hasil pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini selepas membawa beberapa perkara yang memerlukan bantuan, sokongan Perdana Menteri dan alhamdulillah mendapat reaksi positif.
“Antaranya isu R&R di LTU semasa pengguna pulang ke kampung yang berdepan masalah, tiada tempat membuang lampin pakai buang anak-anak dan golongan dewasa untuk berehat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pahang 2025 di Kampung Tanjung Gahai di sini.
Wan Rosdy berkata, walaupun bersifat sementara, R&R itu akan membantu mengurangkan kesesakan di hentian sedia ada serta memberikan keselesaan kepada pemandu dan penumpang.
Sebelum ini, terdapat laporan tentang ketiadaan kemudahan rehat yang mencukupi di sepanjang laluan LTU, sekali gus menimbulkan kesukaran dalam kalangan pengguna jalan raya. – UTUSAN