Ibu Gadai Barang Kemas Eda Ezrin Lebih RM26,000 Bayar Kos Guaman

Ibu Gadai Barang Kemas Eda Ezrin Lebih RM26,000 Bayar Kos Guaman

Ibu kepada penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin terpaksa menggadai barang kemas milik anaknya untuk membayar kos guaman demi memastikan Eda bebas daripada pertuduhan kes memiliki 6,059 biji pil kuda.

Memetik Kosmo, Zahara Mamat berkata dia menjual barangan kemas milik Eda yang dianggarkan bernilai 200,000 baht atau lebih RM26,344 untuk menampung kos berkenaan.

BACA: Eda Ezrin Bebas Tuduhan Miliki Pil Kuda

Menurutnya lagi, keluarganya perlu membayar wang sebanyak 500,000 baht atau lebih RM65,861 dan jumlah itu hanya sebahagian daripada bayaran keseluruhan.

“Kos keseluruhan untuk kos guaman kes ini dianggarkan sebanyak RM65,861, namun saya hanya dapat membayar RM26,344 hasil daripada jualan barangan kemas Eda Ezrin.

“Baki bayaran untuk kos guaman Eda sebanyak 300,000 baht atau lebih RM39,516 dibayar oleh keluarga mentuanya,” katanya.

Kata Zahara lagi, dia terpaksa menjual kesemua barangan kemas milik Eda kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Malah, sejak Eda ditahan di Penjara Wilayah Narathiwat, dia menetap di Tak Bai dan membuka kedai makan kecil-kecilan.

“Saya memang asal sini (Thailand). Apabila Eda Ezrin ditahan reman pada November lalu, saya balik dan membina hidup di sini. Kedai makan saya di Kelantan juga sudah tutup.

“Apabila menetap di sini, saya boleh melawat Eda Ezrin di penjara pada hari Khamis setiap minggu. Saya akan bawa makanan yang diminta Eda Ezrin setiap kali waktu melawat. Baru-baru ini, dia minta nasi ayam pad kra pao,” katanya.

Khamis lalu, Eda Ezrin bersama lima yang lain masih belum dibenarkan keluar dari Penjara Wilayah Narathiwat biarpun dibebaskan atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda. Ini kerana pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam masa sebulan.

SUMBER: Kosmo


Scroll to Top