hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah membabitkan sitaan dadah seberat 23.095 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM3.05 juta dalam tiga serbuan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kuchai, di sini, baru-baru ini.
Serbuan turut membawa kepada penahanan dua suspek, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa@Mustapha, berkata tindakan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM dengan kerjasama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat, Cawangan Risikan Ibu Pejabat dan Cawangan Siasatan, Unit Siasatan Pengubahan Wang Haram Ibu Pejabat.
Menurutnya, pihaknya menyita satu kotak dagangan di sebuah gudang syarikat logistik di KLIA Kargo, Sepang, berisi 10 bungkusan plastik mengandungi plastik lut sinar berisi pil disyaki dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 17.8 kg yang dianggarkan bernilai RM2,972,600 pada jam 3 petang, 3 Februari lalu.
“Modus operandinya adalah penghantaran melalui perkhidmatan kurier udara dengan mengisytiharkan sebagai ‘Organic Waxmelt Vanilla’,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya juga menemui dadah disyaki kanabis dianggarkan seberat 4.05 kg, MDMA (0.208 kg) dan dadah disyaki jenis LSD seberat 1.973 gram dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di kondominium di Kuchai, di sini, pada jam 8.05 malam, 10 Februari lalu.
“Dua suspek warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut dan modus operandinya adalah penghantaran melalui perkhidmatan udara dengan barang diikrarkan sebagai ‘Epoxy Resin for Art and Craft’,” katanya.
Menurut Raizam, sepasukan anggota bersama Anjing Pengesan Dadah (K9) dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM membuat pemeriksaan di Pusat Mel & Kurier di KLIA, Sepang, Selangor, terhadap dua kotak bungkusan yang membawa kepada penemuan dadah pada 21 Januari lalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap dua kotak bungkusan itu menemui bahan kristal putih disyaki methamphetamine yang dianggarkan seberat 1.036 kg bernilai kira-kira RM33,152.
“Modus operandinya adalah dengan menyembunyikan bahan berkenaan di dalam plastik silica gel yang dicampurkan bersama bahan makanan kering dan diikrarkan sebagai ‘Dry Food’ semasa pengeksportan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd