Tawar khidmat nasihat guaman percuma kepada dua keluarga mangsa maut kemalangan

Tawar khidmat nasihat guaman percuma kepada dua keluarga mangsa maut kemalangan

am@hmetro.com.my

Seremban: Pertubuhan Briged Negaraku sedia menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada dua keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan dekat lampu isyarat di Jalan Persiaran Senawang 1, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, dua remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun maut selepas dikatakan dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

Presidennya Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, khidmat itu bagi memastikan keluarga mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

“Kami tahu mereka bukan dari keluarga yang senang dan kejadian berlaku semestinya memberi kesan cukup mendalam, lebih-lebih lagi ia disebabkan kes langgar lampu isyarat merah.

“Di media sosial macam-macam cerita berkenaan insiden ini dan kami rasa bertanggungjawab untuk membantu mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul Nizam berkata, pihaknya akan cuba memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa bagi membantu memulihkan trauma dihadapi.

Sementara itu, seorang saksi, Edy Noor Reduan, 44, berkata, dia akan menghubungi polis bagi membantu siasatan kejadian.

“Saya dalam perjalanan dari Sikamat ke Dataran Senawang. Ketika berhenti di simpang lampu isyarat itu, kereta saya yang paling depan di lokasi kejadian, saya nampak semuanya dengan jelas.

“Sejurus kemalangan, saya terus keluar dari kenderaan untuk membantu, namun berubah fikiran selepas melihat keadaan mangsa yang agak mengerikan

“Waktu itu memang sudah ramai orang berlari ke situ. Sebelum ini saya pernah beberapa kali menyaksikan kemalangan depan mata, tapi kali ini ia betul-betul beri kesan kepada saya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sehingga hari ini dia masih terbayang kejadian itu yang menyebabkannya sukar untuk tidur.

Sejak semalam, netizen khususnya di Negeri Sembilan masih hangat memperkatakan mengenai kejadian berkenaan yang mana ahli keluarga pemandu kereta itu tampil di media sosial mempertahankan lelaki itu.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Honda Jazz dipandu lelaki yang tidak mempunyai lesen memandu sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi, di sini.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Honda Jazz dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang dipercayai dari arah kiri lampu isyarat.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, penunggang dan pembonceng Modenas Kriss yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemandu dan penumpang Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario yang cedera dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top