mdroji@bh.com.my
Kuching: Luluh hari seorang kakak sebaik mengetahui adiknya yang hilang sejak hujung Februari lalu kini dipercayai berada di negara asing.
Nina Fathie berkata, mereka sekeluarga bingung dengan kehilangan Nur Fatihah Fatrah, 20, anak kelima dari enam beradik, selepas kali terakhir berhubung dengannya menerusi aplikasi WhatsApp pada 8.52 malam 26 Februari lalu.
Menurutnya, adiknya gagal dihubungi dan menyebabkan mereka sekeluarga yang berasal dari Kampung Senau, Oya, dalam daerah Dalat di Mukah membuat laporan di Balai Polis Mukah.
Selain laporan polis itu, mereka turut menjalankan pencarian termasuk membuat semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Hasil semakan itu mendapati dia menaiki dua penerbangan, satu satu domestik dari Kuching ke Kuala Lumpur dan satu lagi penerbangan antarabangsa dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh, Kemboja.
“Sebaik mengetahui dia ke Kemboja, kami sekeluarga cemas, sedih, takut sebab macam-macam perkara pernah berlaku kepada mangsa sebelum ini dan kini adik saya sendiri pula berada di sana,” katanya.
Menceritakan lanjut, Nina berkata, adiknya itu yang sebelum ini menuntut di sebuah kolej swasta di Kuching memberitahu ibunya dia mahu ke Kuching pada 20 Februari lalu kerana hendak mengambil barangnya di kolej berkenaan.
“Pada 22 Februari, dia memberitahu hendak ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan pula dan selepas itu sekali lagi memberitahu ibu pada 26 Februari yang dia hendak bekerja di Kuala Lumpur.
“Tetapi menurut rakan-rakannya, pada tarikh 26 Februari itu dia ada memberitahu mereka yang dia hendak ke luar negara,” katanya.
Menurut Nina lagi, mereka difahamkan kes itu kini dikendalikan oleh polis Bukit Aman dan mereka sekeluarga amat mengharapkan Nur Fatihah kembali dengan selamat.
“Kami juga sudah mengadakan solat hajat memohon dia dilindungi dan berdoa dia kembali ke kampung pada Aidilfitri nanti,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, beliau difahamkan Nur Fatihah diberi RM2,000 oleh ahli sindiket yang menjanjikan pekerjaan di negara itu untuk dia membuat pasport dan membeli tiket penerbangan.
“Saya difahamkan kes itu kini dikendalikan oleh Bukit Aman dan Interpol. Apabila lokasi dia di Kemboja disahkan, saya akan berhubung dengan menteri kanan di Jabatan Perdana Menteri untuk mencari jalan bagi membawanya balik.
“Hasil semakan mendapati dia menaiki penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh pada 26 Februari,” katanya.
Untuk rekod, pada 2019, Fatimah bekerjasama dengan Wisma Putra membawa balik 47 rakyat Malaysia dengan 40 daripadanya dari Sarawak yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja.
© New Straits Times Press (M) Bhd