Siasatan polis mendapati pemandu Honda Jazz tidak mempunyai lesen memandu selepas didapti merempuh dua remaja lelaki sehingga maut yang menaiki motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Khamis lalu.
Pemandu Honda Jazz tiada lesen, berusia 18 tahun
Memetik laporan dari Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan pemandu itu berusia 18 tahun dan bukan 15 tahun seperti yang didakwa di media sosial.
“Kita masih menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.
Artikel lain: Bapa meninggal dirempuh kereta, hajat berbuka dengan anak di masjid tak kesampaian
Pemandu Honda Jazz gagal berhenti di lampu isyarat merah
Difahamkan, kemalangan yang berlaku sekitar jam 8.30 itu berpunca daripada pemandu Honda Jazz yang bergerak dari arah Senawang ke Paroi gagal berhenti di lampu merah lalu merempuh dua motosikal dari arah kiri.
Perlanggaran itu menyebabkan Muhammad Aidil Ramdan, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang lain dirawat di HTJ
Selain itu, pemandu dan penumpang Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal Honda Vario turut mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Manakala, pemandu Honda Jazz kini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Setakat ini pihak polis memaklumkan yang kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan akan menjurus kepada kesalahan lain termasuk pemanduan tanpa lesen.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman dashcam sewaktu kemalangan tersebut berlaku apabila kereta jenis Honda Jazz itu gagal berhenti di lampu isyarat merah sehingga merempuh penunggang motosikal.
Video ibu kepada salah seorang mangsa yang meninggal meraung di tempat kejadian sewaktu tahu anaknya meninggal dunia telah membuatkan pengguna media sosial hiba.
Walau bagaimanapun, ada beberapa hantaran di media sosial memperlihatkan luahan daripada kakak kepada pemandu kereta meminta adiknya diberikan keadilan susulan kemalangan yang terjadi.
Sumber: Sinar Harian (Norafiza Jaafar)